fbpx

Amerika label Houthi pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video menunjukkan anggota Houthi menyerang sebuah kapal kargo yang berkaitan dengan Israel di Laut Merah pada 20 November 2023. – AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan pembe­rontak Houthi sebagai ‘organisasi pengganas’, selepas kumpulan itu melancarkan serangan dron dan peluru berpandu menyasarkan kapal dagang dan kapal Washington di Laut Merah.

Laman berita NBC News me­laporkan Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan sebagai berkata, siri serangan Houthi jelas tindakan keganasan

“Mereka (Houthi) telah membahayakan nyawa kakitangan AS, kelasi dan rakan kerjasama kami serta mengancam kebebasan pelayaran sekali gus menjejaskan perdagangan global,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Selepas Israel menyerang Gaza pada 7 Oktober lalu, militia Houthi mengisytiharkan sokongan kepada Hamas dan mula melancarkan peluru berpandu ke arah Israel serta menyerang kapal-kapal dagang Barat yang belayar di Laut Merah.

AS dan sekutu-sekutunya bertindak balas dengan melancarkan serangan ke sejumlah lokasi yang dikuasai puak Houthi di Yemen.

Menurut Sullivan, langkah menyenaraikan pemberontak Houthi sebagai pengganas pen­ting untuk menyekat aliran dana kepada organisasi tersebut.

Ia seterusnya menghalang akses mereka kepada pasaran kewangan antarabangsa.

“Sekiranya puak Houthi menghentikan serangan di Laut Merah dan Teluk Aden, Amerika akan menilai semula langkah tersebut (senarai kumpulan pengganas),” ujarnya.

Tambah Sullivan, langkah itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari bagi memberi masa kepada Washington untuk mengehadkan impak terhadap penduduk awam Yemen.

“Rakyat Yemen seluruhnya tidak harus menanggung akibat daripada tindakan militia Houthi,” tegasnya.

Houthi merupakan sebuah puak besar yang berasal dari wilayah Saada di barat laut ­Yemen. Puak Houthi mengikuti ajaran Syiah Zaidiyah.

Dalam pada itu, Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian dalam temu bual bersama stesen penyiaran CNN berkata, kumpulan-kumpulan disokong Teheran di Asia Barat tidak akan menghentikan serangan mereka sehinggalah perang Gaza tamat.

“Jika pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan, ia akan membawa kepada penamatan krisis lain dan serangan di rantau ini,” kata Hossein di luar Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland kelmarin.

Pemberontak Houthi mengeluarkan kenyataan serupa dengan menegaskan bahawa tindakan pejuangnya di Laut Merah akan diteruskan khususnya menyasarkan kapal berkaitan Israel.

“Selagi serangan dan sekatan Zionis-Amerika ke atas penduduk Gaza berterusan, kami tidak akan menghentikan serangan ini,” kata anggota biro politik Houthi, Hizam al-Assad.

Pada Ahad lalu, pemimpin Hizbollah di Lebanon, Hassan Nasrallah berkata, konfrontasi di sempadan Lebanon-Israel yang semakin sengit sejak beberapa minggu lalu tidak akan berakhir selagi gencatan senjata belum dicapai di Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI