fbpx

Tak sempat edar 21 tan tembakau virginia seludup ke kilang tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zailani (tengah) menunjukkan tembakau jenis virginia yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat LKTN, Kubang Kerian di Kota Bharu hari ini. - Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN / KOSMO!

KOTA BHARU – Cubaan sindiket untuk mengedar sebanyak 21 tan daun tembakau jenis virginia seludup kepada pengilang di negara ini gagal selepas Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyerbu sebuah premis di Pengkalan, Lahat dekat Ipoh, Perak , dua minggu lalu.

Serbuan pada 3 Januari lalu itu dijalankan oleh LKTN dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas seminggu melakukan intipan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zailani Hashim berkata, kesemua daun tembakau itu dianggarkan bernilai RM650,000 dan diseludup dari Thailand.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, daun tembakau yang sudah diawet itu dibawa masuk dari negara tersebut melalui kawasan utara tanah air.

“Premis tersebut dijadikan sebagai transit sementara sebelum ia diedarkan secara tidak sah kepada pengilang di negara ini. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an yang dipercaya pemilik premis itu turut ditahan.

“Siasatan mendapati, tembakau jenis virginia mempunyai permintaan tinggi di pasaran negara ini kerana ia lebih berkualiti daripada tembakau lain,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat LKTN, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zailani memberitahu, harga tembakau jenis virginia ketika ini dianggarkan bernilai RM30 sekilogram.

Menurutnya, rampasan itu merupakan kejayaan terbesar yang pernah direkodkan oleh LKTN setakat ini.

“Kita pernah merampas tembakau seludup bernilai lebih RM111,421 pada 2022 dan lebih RM291,133 tahun lalu,” ujarnya.

Tambah Zailani, kes disiasat mengikut Seksyen 51 (1) Akta LKTN 2009 (Akta 692). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI