fbpx

Penagih dadah samun tiga kedai serbaneka 24 jam dicekup polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aksi penagih dadah yang melakukan samun terakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) di Jalan Tuanku Antah, di sini, semalam. - Foto POLIS

SEREMBAN – Seorang penagih dadah berjaya dicekup polis di Senawang, pukul 2.30 petang semalam selepas melakukan jenayah samun di tiga buah kedai serbaneka 24 jam di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian samun pada Ahad, Selasa dan terbaharu semalam membabitkan mangsa iaitu pekerja kedai berkenaan.

“Dalam kejadian Ahad itu, polis telah menerima laporan kira-kira pukul 5.18 pagi daripada seorang perempuan berusia 20 tahun yang disamun ketika bekerja di Jalan Dato Sheikh Ahmad. Mangsa mengalami kerugian RM1,250 iaitu membabitkan wang tunai sebanyak RM250 dan seutas rantai emas milik mangsa.

“Pada Selasa (kelmarin) pula, kira-kira pukul 1.22 pagi, satu laporan diterima daripada seorang perempuan berusia 36 tahun disamun ketika bekerja di Jalan Temiang oleh suspek yang sama dengan kerugian RM775.

“Pada pukul 2.45 pagi semalam, polis sekali lagi menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 27 tahun bekerja di Jalan Tuanku Antah telah disamun oleh seorang lelaki bersenjatakan kayu besbol dengan anggaran kerugian RM125,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ujar Arifai lagi, hasil siasatan mendapati suspek telah memasuki kedai serbaneka dengan berpura-pura membeli barang dan melakukan samun terhadap pekerja kaunter wang selepas mesin wang dibuka.

Menurutnya, suspek yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau serta positif dadah jenis Methamphetamine dalam saringan air kencing kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI