HEBOH minggu lepas apabila berpuluh-puluh rumah penduduk di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Padang Besar, Perlis diganggu dengan ketukan misteri.
Peristiwa itu meskipun bukan suatu yang baharu kepada kita, namun perbuatan tanpa sebab dan tidak diketahui pelakunya sangat mengganggu ketenteraman selain membangkitkan perasaan marah dan kesal.
Di Kuala Pilah tanpa disangka pula, ada penduduk terserempak dengan makhluk yang seakan orang minyak. Mengikut cerita orang tua-tua, orang minyak ini merujuk kepada seseorang yang menuntut ilmu batin bagi tujuan menceroboh masuk ke rumah mangsa untuk mencuri.
Lebih menakutkan ada cerita mengatakan orang minyak ini mereka yang telah tersalah menuntut ilmu menyebabkan dia menjadi hitam dan hanya akan pulih selepas memperkosa 40 gadis.
Kisah orang minyak popular dalam masyarakat Melayu sehingga pernah dijadikan filem pada tahun 1958 dan diarahkan oleh Seniman Agung Negara, Tan Sri P. Ramlee.
Sama ada kisah itu sekadar mitos atau memang benar-benar berlaku, gangguan berkenaan memerlukan tindakan mereka yang pakar agar tidak berterusan mengganggu orang ramai.
Di sebalik kisah orang minyak, negara kita hingga hari ini juga masih belum dapat menyelesaikan masalah petualang minyak melibatkan bahan api petrol dan diesel serta minyak peket.
Kerajaan pada 2022 membelanjakan subsidi petroleum sebanyak RM45 bilion bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan harga minyak dunia selain bagi tujuan mengawal daripada kenaikan pelbagai kos berantai lain seperti pengangkutan, makanan dan keperluan asas harian.
Selain itu, kerajaan dianggar menyediakan hampir RM1.9 bilion pada 2023 bagi subsidi minyak masak agar rakyat berpendapatan rendah masih dapat menikmati harga mampu milik RM2.50 untuk kegunaan harian.
Malangnya, tidak semua perbelanjaan subsidi itu dinikmati oleh rakyat negara ini kerana wujudnya pengkhianat yang mengaut keuntungan mudah menyeludup ke luar negara selain membeli pada harga subsidi dan dijual kepada pihak industri.
Malah, kebanjiran jutaan warga asing yang datang bagi mencari rezeki di negara ini turut menikmati barangan subsidi yang sama sedangkan kos berkenaan turut ditampung daripada hasil cukai yang dibayar oleh rakyat.
Warga asing ini bukan sahaja menikmati subsidi bahan api, minyak masak malah sehingga beras, tepung dan telur ayam. Itu belum dikira subsidi gas, bekalan air, elektrik serta kemudahan hospital.
Oleh sebab itu, pelancaran Pangkalan Data Utama (Padu) bagi pelaksanaan langkah peralihan subsidi pukal kepada lebih bersasar perlu mengambil kira ketirisan-ketirisan wang kerajaan.
Jangan nanti golongan yang setia membayar cukai berasa terpinggir daripada perhatian dan pembelaan.














