KUALA LUMPUR – Seorang wanita tidak menduga apabila dua anaknya yang dilaporkan hilang ketika keluar selepas balik daripada solat subuh di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor pada 1 Januari lalu rupanya telah diculik, dikurung dan diseksa di sebuah motel di Jalan Petaling di sini.
Wanita berusia 39 tahun itu berkata, perkara itu terbongkar apabila salah seorang anaknya berjaya melepaskan diri sebelum ditemui dalam keadaan lesu berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni di sini 11 Januari lalu.
Katanya, dua anaknya yang berusia 16 dan 17 tahun telah dilarikan individu tidak dikenali sebelum dibawa dan dikurung di sebuah motel di Jalan Petaling di sini.
“Si along berjaya melepaskan diri ketika penjaganya yang merupakan seorang lelaki tertidur akibat khayal dadah. Dia sempat mengambil telefon bimbit lelaki itu sebelum menghubungi saya dan polis untuk memaklumkan keadaannya.
“Polis yang menerima maklumat kemudian bergegas ke lokasi along sebelum dibawa ke balai berhampiran untuk membantu siasatan. Dia kemudian telah membawa polis ke tempat dia dikurung dan difahamkan seorang suspek telah ditahan,” katanya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan dua beradik itu dilaporkan hilang ketika balik daripada solat subuh di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya pada 1 Januari lalu.
Kehilangan dua remaja tersebut disedari oleh ibu bapa mereka pada pukul 6.30 pagi, manakala pakaian terakhir mereka ialah berbaju warna tidak pasti dan berseluar trek warna gelap.
Difahamkan, mereka keluar rumah tanpa memberitahu ibu bapa.
Bagaimanapun, menurut wanita itu, anak keduanya pula masih belum ditemui kerana penculik telah memisahkan mereka.
Tambahnya, anak sulungnya memberitahu, sebelum ini mereka ditempatkan di lokasi sama, namun dipisahkan pada 9 Januari lalu.
“Angah dikeluarkan dari bilik tersebut dalam keadaan lemah dan dia paling teruk diseksa kerana kuat melawan dan bising,” katanya.
Ujar wanita itu, anak sulungnya juga turut diseksa ketika dalam tahanan itu sehingga dia trauma dan kesihatannya yang tidak stabil.
“Saya lega apabila polis telah menahan suspek dan berharap agar anak kedua saya dapat ditemui dalam keadaan selamat. Terima kasih kerana bertanya khabar, namun sampai setakat ini sahaja yang dapat saya kongsikan,” katanya.
Menurut wanita itu, dia berharap agar anak sulungnya kuat menghadapi dugaan tersebut dan kembali sihat.
“Semoga nama kami sekeluarga dibersihkan setelah dikutuk dan dituduh sehebat ini dengan macam-macam dakwaan sehingga menjejaskan banyak perkara termasuk perniagaan kami,” katanya.
Dalam pada itu, wanita tersebut memberitahu, anak sulungnya masih takut dan trauma dengan kejadian terbabit.
“Dia perlu ditemani kerana sering meracau dan menjerit dalam tidur,” katanya.














