fbpx
Sebaiknya individu yang berminat menjalani perkhidmatan ini memakai pakaian berwarna putih agar warna asal kulit lebih kelihatan. – M. FIRDAUS M. JOHARI

Warna tepat serlah seri imej diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WANITA itu tidak pernah menyangka warna kesukaan yang sering dipilihnya ketika berpakaian selama ini membuatkan dirinya kelihatan lesu dan gelap.

Sekian lama menyukai merah jambu, dia akhirnya mengetahui dirinya tidak bersesuaian dengan warna itu menerusi satu sesi konsultasi warna yang diketahui melalui perkongsian seorang rakan.

Menurut ahli perniagaan dan juga peguam, Azra Azman, 52, selama ini, dia tidak pernah terfikir bahawa pemilihan warna yang bertepatan dengan rona kulit turut memainkan peranan dalam menyerlahkan lagi penampilan diri.

“Selama ini dalam memilih gaya penampilan, saya lebih merujuk kepada trend terkini dan apabila berkaitan dengan warna, pilihan akan menjurus kepada rona kesukaan atau yang nampak cantik di mata.

“Oleh kerana saya lebih sukakan merah jambu, kebanyakan pakaian mahupun warna gincu yang saya miliki berada pada spektrum rona tersebut, tetapi hakikatnya ia tidak sesuai dengan saya,” katanya ketika dihubungi K2.

Tambah Azra, dia mencuba konsultasi warna setelah mendapati bahawa perkhidmatan seumpama itu rupa-rupanya wujud di Malaysia yang ditawarkan oleh sebuah konsultan imej dikenali sebagai Colour Me Beautiful.

Kata wanita asal Selangor itu, menerusi perkhidmatan tersebut, dia banyak belajar tentang spektrum warna yang sesuai buat dirinya, tidak hanya dalam pemakaian, tetapi juga warna solekan berpadanan rona kulitnya.

“Saya sebelum ini mendengar adanya perkhidmatan sebegitu daripada seorang kawan yang menggunakan khidmat itu semasa dia di Britain.

“Oleh kerana berminat untuk mencuba, saya mencari perkhidmatan sama di Malaysia dan menjumpai Colour Me Beautiful.

“Kemudian saya turut mengajak rakan-rakan lain dan melakukan sesi bersama-sama di rumah yang mana kami turut membuat colour swap party untuk alat solek mengikut warna yang sesuai dengan tona kulit masing-masing,” ujarnya.

Hasil daripada sesi tersebut, ibu kepada dua cahaya mata itu mengikut saranan yang diberikan ahli konsultan dan tidak menyangka ditegur oleh rakan kerana kelihatan lebih berseri-seri.

Konsultasi warna merupakan satu perkhidmatan yang membantu individu atau organisasi memilih kombinasi warna yang paling sesuai untuk diri sendiri, ruang atau projek mereka.

Terdapat beberapa jenis perkhidmatan konsultasi warna yang berbeza mengikut kepakaran yang terdiri daripada warna untuk imej diri atau persekitaran.

Dalam konsultasi warna untuk imej, khidmat ini lebih menjurus kepada kepakaran memadankan individu dengan warna yang sesuai dirinya.

Dengan perundingan warna, pakar warna profesional menganalisis beberapa faktor seperti personaliti, warna kulit, bentuk muka dan pilihan peribadi untuk memberikan panduan pakar tentang pemilihan warna.

Sekumpulan wanita gembira setelah mendapati warna yang bersesuaian dengan diri masing-masing.

Dengan memanfaatkan pengetahuan mereka tentang psikologi warna dan rujukan individu, perunding warna memastikan kombinasi warna yang dipilih mengharmoni, membangkitkan keyakinan dan aura yang diingini bagi mencapai kesan visual didambakan.

Menurut ahli konsultan warna dan imej dari Colour Me Beautiful Malaysia, Michelle Chan, perkhidmatan konsultasi warna sebenarnya sudah wujud sejak tahun 1980-an di Britain.

Oleh kerana konsultasi ini lebih kepada perkhidmatan persendirian, ia kurang diperkatakan ramai sehingga wujudnya media sosial yang menjadikan ia tular sekitar tahun lalu.

“Ramai yang menjangkakan bahawa konsultasi ini berasal dari Korea Selatan kerana tular di sana, tetapi sebenarnya ia sudah lama wujud di Britain dan menjadi antara perkhidmatan pilihan bukan sahaja individu tetapi juga sektor korporat,” kongsinya yang memulakan khidmat konsultasi imej dan warna sejak 2016.

Katanya lagi, dalam perkhidmatan konsultasi warna, terdapat beberapa prosedur yang akan dijalankan sebelum khidmat nasihat tentang rona yang sesuai diberikan.

Pertama, ujian personaliti bagi menentukan pilihan warna yang sesuai untuk dicadangkan kepada pelanggan.

Kemudian, menentukan rona kulit, warna mata, rambut dan ciri fizikal bagi menentukan individu tersebut tergolong dalan kategori warna diri antara clear, deep, cool, light, warm atau soft.

Apabila kategori telah ditentukan, sesi pemadanan warna akan dilakukan terhadap individu dengan mencuba memadankan pelbagai spektrum warna bagi melihat kesesuaian kepada kulit.

“Kita galakkan pelanggan untuk guna pakaian putih kerana ia akan menjadikan warna asal kulit lebih kelihatan.

“Sesi ini juga dilakukan dengan menggunakan cahaya semula jadi kerana ia memberikan impak lebih tepat kepada kesesuaian warna,” ujarnya.

Tambahnya, terdapat lebih 40 spektrum warna yang sesuai untuk digayakan oleh seorang individu mengikut setiap kategori.

Menerusi padanan ini, pelanggan dapat melihat secara lebih jelas bagaimana warna dapat menaikkan seri wajah dan menjadikan mereka lebih kelihatan bertenaga serta sihat.

Dalam jenis perkhidmatan, Michelle turut menjelaskan bahawa untuk wanita dan lelaki biasanya cara konsultasi mereka adalah berbeza.

Biasanya untuk wanita, mereka lebih suka mencuba semua aspek dan warna bagi melihat warna baharu atau jenis warna yang sebenarnya sesuai buat mereka.

Sementara itu, bagi lelaki pula sebaliknya, mereka lebih mahukan konsultasi tepat kepada jenis warna yang sesuai buat mereka sama ada dalam kehidupan seharian atau kerjaya.

“Bagi lelaki, mereka jarang mahu mencuba semua atau warna baharu, jika mereka mahu tahu warna apa yang sesuai maka konsultasi akan menjelaskan kepada mereka secara lebih ‘direct’.

“Untuk perempuan, mereka lebih suka mencuba, mahu tahu semua jenis warna yang sesuai untuk pakaian atau solekan, malah warna rambut,” ujarnya.

Tidak hanya itu, konsultasi juga boleh dilakukan untuk merancang majlis perkahwinan dan padanan warna bukan saja disarankan untuk busana pengantin tetapi keseluruhan majlis termasuk ahli keluarga, pengapit serta pelamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN