fbpx

Status representasi Rosmah gugur 17 pertuduhan ubah wang haram, LHDN 1 Mac ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Mac bagi status representasi ketiga yang dikemukakan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menggugurkan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim K. Muniandy menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka memerlukan lebih masa untuk meneliti representasi yang dikemukakan Rosmah selaku pemohon.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan, pihaknya masih perlu mengambil
langkah tertentu termasuk mendapatkan pernyataan daripada beberapa individu bagi melengkapkan siasatan sebelum representasi berkenaan diputuskan.

“Pernyataan-pernyataan beberapa individu penting bagi membolehkan pihak pendakwaan tampil dengan keputusan representasi yang lengkap dan menyeluruh,” kata Ahmad Akram.

Hari ini sepatutnya mahkamah mendengar sambungan hujahan berhubung permohonan Rosmah untuk menggugurkan 17 pertuduhan tersebut.

Terdahulu peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Rosmah memohon mahkamah menangguhkan prosiding hari ini atas alasan anak guamnya tidak sihat dan sijil cuti sakit telah diserahkan kepada mahkamah.

Pada 12 Disember tahun lalu, Rosmah, 73, mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7.09 juta dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN.

Pihak pembelaan memaklumkan, representasi baharu yang dihantar mengandungi beberapa perkembangan dan isu penting yang perlu dipertimbangkan oleh Peguam Negara.

Representasi itu merupakan yang ketiga dihantar Rosmah selepas representasi pertama dan kedua yang dikemukakan masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos lalu masih belum diputuskan oleh AGC.

Sebelum ini, pasukan pembelaan menghujahkan, pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Rosmah adalah cacat dan mengelirukan kerana tidak mendedahkan siri transaksi atau pergerakan wang ke dalam akaun beliau selain kabur kerana tidak menyatakan apa aktiviti haram atau kesalahan predikat daripada mana hasil dikatakan telah diperoleh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI