fbpx

Peniaga kosmetik sempat hubungi bapa mentua sebelum jatuh Jambatan Tendong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang peniaga produk kosmetik sempat menghubungi bapa mentuanya agar datang mengambil keretanya yang rosak sebelum dia terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini semalam.

Abang kepada mangsa, Sukardi Ismail, 47, berkata, adiknya, Norhisyam Ismail, 43, berpesan kepada bapa mentuanya untuk datang mengambil kereta jenis Mercedes Benz E250 CGI kerana ia mengalami kerosakan semasa berada di atas jambatan tersebut.

Menurutnya, dia yang kini menetap di Kedah mengetahui kejadian itu selepas melihat berita mengenai seorang lelaki yang disahkan identiti merupakan adiknya di Facebook kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

“Saya lihat nombor pendaftaran pada kereta itu dan ia memang milik Norhisyam. Saya terus bergegas untuk pulang ke Kelantan malam tadi menaiki penerbangan dari Alor Setar sebelum transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan tiba di Kota Bharu pagi tadi.

“Isteri mangsa ada memaklumkan bahawa Norhisyam tidak mempunyai sebarang masalah peribadi, penyakit atau hutang ketika menjalankan perniagaan produk kosmetik,” katanya ketika ditemui pemberita di Jambatan Tendong di sini hari ini.

Sukardi memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan mangsa kira-kira sembilan bulan lalu sebelum dikejut dengan kejadian tersebut semalam.

Menurutnya, dia tidak banyak mengetahui perkembangan kehidupan adiknya kerana sudah lama terputus hubungan selepas kedua ibu bapa meninggal dunia.

“Saya tahu dia berniaga produk kosmetik di Wakaf Che Yeh di sini. Meskipun menjalankan perniagaan, saya rasa dia tidak mempunyai masalah bebanan hutang yang besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Pasir Mas kira-kira pukul 6.48 petang semalam.

Sukardi (kanan) bertemu dengan Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin (kiri) yang hadir ke lokasi kejadian di Jambatan Tendong, Kota Bharu hari ini. – Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan dengan kerjasama pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak semalam.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Semua pihak diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan kejadian itu demi menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang peniaga dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, di sini semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Kelantan berkata, siasatan mendapati, mangsa yang dikhuatiri lemas dikenali sebagai Norhisyam Ismail, 43. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI