fbpx

Bagi projek kepada adik, penolong pegawai kesihatan didenda RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH yang didakwa dengan sembilan pertuduhan hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka dalam keadaan berkerusi roda. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

MELAKA – Seorang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana menyalahgunakan kedudukan dan jawatan dengan memberi projek kepada syarikat milik adiknya berjumlah RM19,663.50, enam tahun lalu.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ab. Hanif Ab. Hamid, 43, mengaku bersalah terhadap tiga daripada sembilan pertuduhan pilihan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan pilihan, tertuduh yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin telah mendapatkan perkhidmatan pembekalan daripada Kerajaan Malaysia bagi pembelian peralatan tandas, racun dan mesin rumput berjumlah keseluruhan RM19,663.50 kepada Perniagaan Thronez Enterprise milik adiknya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Unit Bekalan dan Kebersihan Alam Sekeliling (BAKAS), PKD Jasin dalam daerah Jasin antara 4 Julai hingga 2 November 2018.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 161 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira faktor kesalahan itu melibatkan projek kerajaan.

Peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit saraf kronik serta memerlukan rawatan, selain berdepan tindakan pemberhentian kerja.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan atau enam bulan penjara jika gagal bayar dan mempertimbangkan pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI