fbpx

Nur Shafika bakal beraksi di Piala Dunia Hoki 5s

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SISWI UPM ini mengimpikan untuk menjadi wanita bekerjaya dalam apa jua bidang satu hari nanti.

SEJAK kecil, Nur Shafika Ahmad Kamil sudah terdedah kepada sukan hoki.

Ini kerana pada ketika itu, kakaknya terlebih dahulu terlibat dengan sukan tersebut dan dia juga menanam minat yang sama.

“Saya mula terlibat secara serius dengan sukan hoki sejak berusia 10 tahun lagi ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan Telok Kalong, Kemaman, Terengganu.

“Saya boleh katakan kakaklah menjadi sebab utama saya terlibat dalam sukan ini kerana saya sering melihatnya beraksi,” kata Nur Shafika, 21, yang kini merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada K2.

Tambahnya, demi sukan hoki juga, dia sanggup berpisah dengan keluarga tercinta apabila memilih untuk menyambungkan persekolahan di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor.

Ternyata pengorbanannya selama ini dalam sukan hoki tidak sia-sia apabila Nur Shafika terpilih untuk menyertai skuad hoki lima sebelah (5s) negara yang akan ke Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman pada bulan ini.

Nur Shafika berkata, dia gembira apabila dipilih menjadi sebahagian skuad hoki yang akan bertanding dalam kejohanan besar itu.

“Jika ditanya tentang perasaan saya apabila terpilih mewakili negara, sudah semestinya saya berasa gembira dan bangga kerana mendapat kepercayaan jurulatih.

“Saya akan memberikan aksi yang terbaik buat negara dalam pertandingan ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Nur Shafika berkata, sebenarnya terdapat perbezaan antara hoki biasa iaitu 11 sebelah dengan hoki lima sebelah (5s).

Aksi hebat Nur Shafika ketika di atas padang.

Menurutnya, untuk hoki lima sebelah, saiz padangnya lebih kecil dan tempo permainannya juga berbeza.

“Untuk hoki lima sebelah tidak ada garisan keluar dan bola akan sentiasa ada dalam padang serta pemain harus mempunyai kecergasan yang tinggi.

“Selain itu, untuk lima sebelah, posisi pemain adalah dua penyerang, dua pertahanan dan seorang penjaga gol,” terangnya.

Kongsinya, posisi dirinya untuk permainan hoki itu adalah di bahagian pertahanan.

Nur Shafika turut menitipkan pesan kepada mereka yang terlibat dalam sukan hoki terutamanya pelajar-pelajar sekolah agar tidak cepat berputus asa dan sentiasa berusaha.

Menurutnya, dia sendiri pernah berdepan situasi putus asa kerana ada pertandingan yang disasarkannya untuk sertai tetapi digugurkan daripada mewakili negara.

“Saya sebenarnya telah terpilih untuk menyertai skuad hoki wanita negara tahun lalu lagi.

“Namun, nama saya tidak terpilih untuk menyertai pasukan untuk suatu pertandingan, tetapi saya lawan rasa putus asa itu dan bangkit dengan berusaha lebih keras,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang bagaimana pemilihan dilakukan untuk menjadi pemain hoki wanita negara, Nur Shafika menjelaskan, kebiasaannya jurulatih akan melihat persembahan pemain dalam kejohanan-kejohanan besar seperti Liga Hoki Malaysia.

Pada tahun lalu, untuk kejohanan liga itu, Nur Shafika mewakili skuad Young Tigress dan untuk tahun ini, dia menyertai pasukan negerinya iaitu Terengganu Ladies Hockey Team.

Dalam pada itu, mengulas tentang pengajiannya di UPM, Nur Shafika berkata, dia memilih untuk mengikuti jurusan komunikasi kerana melihat banyak peluang dalam bidang tersebut, misalnya dia juga boleh menjadi wartawan kelak.

“Saya mengambil jurusan komunikasi ini disebabkan minat serta mendapat nasihat daripada kakak saya juga.

“Sekarang ini. saya baru semester pertama di UPM dan saya akan belajar bersungguh-sungguh meskipun dalam masa yang sama sibuk dengan sukan hoki,” jelasnya.

Tambah Nur Shafika, impiannya adalah satu iaitu untuk menjadi wanita berkerjaya dalam apa jua bidang pada masa hadapan.

Nur Shafika juga mengakui, sebagai seorang pelajar dan pemain hoki, dia harus pandai untuk mengimbangi masa antara kedua-duanya.

Ketika ini, dia akan menjalani latihan hoki seminggu dua kali pada waktu pagi dan petang.

“Untuk tidak ketinggalan, saya akan cuba masuk ke kelas meskipun pada hari itu ada latihan hoki.

“Selain itu, saya juga akan bertanya kepada rakan-rakan tentang apa yang dipelajari jika saya tidak dapat menghadiri sesuatu kelas,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI