fbpx

RUU kekal kerajaan hingga akhir penggal masih di peringkat Jemaah Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi (tengah) ketika berucap pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pembukaan Bahagian Baharu (Orchid Wing) OasisEye Specialists di Nexus, Bangsar hari ini. Foto oleh FIRDAUS JOHARI/KOSMO!

PETALING JAYA – Perbincangan terhadap cadangan mewujudkan rang undang-undang (RUU) bagi mengekalkan sesebuah kerajaan mentadbir sehingga akhir penggal masih di peringkat Jemaah Menteri.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, belum ada lagi perkara khusus untuk membawa cadangan itu ke Parlimen namun perkara tersebut sedang diteliti dan dikaji oleh barisan Jemaah Menteri bagi menjamin kestabilan politik negara.

“Perkara ini ada dibincangkan dalam Jemaah Menteri, ada beberapa pandangan memang sebelum ini secara terbuka ataupun dalam perbincangan yang lebih khusus mengenai keperluan dan kesesuaian.

“Seperti di beberapa negara lain, konsep ‘fix term’ Parlimen. Jadi perkara ini masih awal, kita masih dalam perbincangan.

“Belum lagi ada mungkin perkara khusus yang boleh kita bawa ke Parlimen sekarang. Tetapi antara lain, ia adalah untuk menjamin dari segi kestabilan bagi sesebuah kerajaan itu bagi mengelak daripada beberapa perkara berulang seperti yang pernah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Pembukaan Bahagian Baharu (Orchid Wing) OasisEye Specialists di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyarankan agar satu RUU khusus dibentang untuk menghalang sesebuah gabungan ataupun mana-mana parti dominan yang membentuk kerajaan ditumbangkan di pertengahan penggal.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cadangan tersebut akan memberi peluang kepada parti yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) memerintah dan meneruskan agenda pembangunan tanpa digugat dengan sebarang usaha menumbangkan kerajaan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI