fbpx

Ibu bapa tunggu arahan KPM berkenaan pemakaian baju sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Ibu bapa tertunggu-tunggu arahan dan kenyataan rasmi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung pemakaian baju sekolah untuk sesi persekolahan 2024, bagi membolehkan mereka membuat persiapan membeli kelengkapan anak-anak.

Tinjauan Kosmo! di Facebook mendapati, rata-rata ibu bapa berharap pihak KPM dapat mengeluarkan kenyataan lebih awal untuk mereka merancang perbelanjaan persekolahan.

Komen-komen tersebut dikongsi mereka selepas seorang guru dikenali sebagai Mohd. Fadli Salleh, memuat naik hantaran di Facebook mengenai perkara itu ekoran ada ibu bapa menyuarakan persoalan berkenaan kepadanya.

Mohd. Fadli turut bersetuju dengan pendapat seorang ibu serta mencadangkan Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pemakaian baju untuk sesi 2024 ini.

“Saya secara peribadi masih bersetuju murid-murid dibolehkan pakai baju sukan setiap hari. Memudahkan urusan kaum ibu siapkan anak-anak, murid lebih selesa, dan harga baju sukan lebih murah daripada seragam sekolah.

“Seragam sekolah (kalau boleh) hanya wajib pakai bila ada acara rasmi sekolah seperti majlis watikah pelantikan pemimpin muda, penyampaian hadiah anugerah kecemerlangan, dan perhimpunan mingguan (Ahad bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor dan Isnin bagi negeri lain). Pada saya, begitu lebih baik,” katanya pada hantaran tersebut.

Ia turut dipersetujui oleh ibu bapa yang lain memandangkan mereka perlu merancang perbelanjaan sebaik-baiknya bagi sesi persekolahan 2024.

“Kan bagus kalau menteri keluar kenyataan awal. Kami ibu bapa boleh rancang berapa helai nak beli atau tak perlu beli… duit-duit,” kata Arianee Noor Razali.

“Saya sokong pendapat cikgu, murid selesa berbaju sukan. Pakaian formal dalam perhimpunan mingguan. Sekurang-kurangnya sepasang sahaja untuk beli baju sekolah. Baju sekolah mahal sangat sekarang dan kalau badan besar macam anak saya, mahu dekat RM100 sepasang,” komen Nurwani Mohamad.

Dalam masa sama, ada juga ibu yang berharap pemakaian baju sukan ke sekolah dikekalkan.

“Harap dapat kekalkan pakaian baju sukan kerana anak saya begitu semangat apabila memakai pakaian tersebut. Selain ia mudah dan ringkas, anak-anak seronok ke sekolah,” cadang Marina Md. Yusof. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI