fbpx
MASIH hijau namun sudah terlalu banyak kecaman melingkari jejak seni jejaka berkulit sawo matang ini. Dilabel perampas kekasih sesama artis, sudah pandai menyombong dan tidak mesra media, semua tuduhan belum menjadi kudis buat Amir Ahnaf

Terjebak ‘soft porn’, Amir Ahnaf tak lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DATANGLAH gelora sensasi mahupun segala macam ‘suara sumbang’ cuba mencalarkan nama baik, aktor tinggi lampai Amir Ahnaf seakan-akan sudah lali berdepan semua itu.

Masih setahun jagung, namun dia yang menyerlah sejak fenomena drama Projek High Council mula melazimkan diri dengan ‘permainan’ dunia hiburan.

Lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri ketika berdepan kontroversi, Amir tidak ‘lari’, sebaliknya tetap memberikan maklum balas kepada media selepas perkara dibahas mula mendingin.

BAGI Amir, perihal cinta bukan keutamaannya sekarang berikutan kesibukan memburu impian dalam arena seni.

Realiti hidup

Seperti kontroversi dikatakan melakukan babak ‘soft porn’ dan didakwa orang ketiga dalam hubungan antara rakan seperjuangan iaitu Anna Jobling dan Meerqeen, dengan tenang dia menjawab persoalan tersebut.

“Suka atau tidak inilah realiti di sebalik kehidupan penggiat seni, tetapi jika kita di pihak benar jangan takut untuk berterus-terang cuma perlu tengok keadaan.

“Bagi saya melambat-lambatkan kenyataan bukan kerana mahu lari, sebaliknya ingin situasi reda dulu kerana jika sedang panas tentu apa saja yang kita luahkan tidak didengari.

“Nak kata saya kalis kecaman mungkin tidak, cuma lebih kepada berani kerana benar. Bukan pertahankan diri, jika saya terkhilaf, teguran orang tetap saya ambil perhatian,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Pendekar Awang Darah Indera Gajah, baru-baru ini.

ABANG sulung daripada sembilan adik-beradik yang kesemuanya masih belajar ini mempunyai tanggungjawab besar terhadap keluarganya yang tinggal di Terengganu.

Enggan campur hal peribadi

Tetap sedia diasak soalan mengenai kemesraan bersama rakan gandingan dalam drama Syurga Itu Bukan Mudah, katanya dia dan Anna hanya intim dalam laman Instagram atas tuntutan kerja promosi.

“Anna seorang kawan yang menyeronokkan. Kami boleh berbual apa saja, tapi kemesraan dalam Instagram seperti yang orang tengok adalah untuk mempromosikan drama itu.

“Sebelum bertemu Anna saya lebih dulu mesej Meerqeen maklumkan mahu berjumpa Anna untuk berbincang mengenai watak kami dalam drama itu.

“Dia pun faham dan saya juga hormat kedua-duanya dengan tidak campur tangan urusan peribadi mereka,” ulasnya dengan tenang.

Pemilik nama lengkap Muhammad Amir Ahnaf Mohd. Khairuddin, 24, itu juga menegaskan buat masa sekarang soal perasaan ditolak ke tepi bagi memberikan tumpuan terhadap kerjaya seni.

Bahkan, kesibukan memenuhi jadual lakonan antara alasan sukar untuk menjalin hubungan baharu selepas hampir tiga tahun berpisah dengan kekasih hati lama.

“Tunggu dulu, banyak lagi perkara perlu saya fokuskan, lebih-lebih lagi sebagai anak sulung daripada sembilan bersaudara yang masih belajar.

“Saya ada tanggungjawab terhadap kerjaya dan keluarga kerana kedua-duanya sama penting dalam hidup saya,” ulasnya yang turut mahu mencuba nasib dalam ke cabang nyanyian.

Amir tidak kekok bersilat dalam filem terbitan Kembara Studio itu kerana pernah mengikuti kelas silat Cemara Bugis ketika belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Guna dialek Terengganu

Muncul dengan filem sulung iaitu Pendekar Awang Darah Indera Gajah, Amir juga tidak mampu menyembunyikan rasa teruja dapat menggunakan dialek Terengganu ketika memainkan watak Andak.

Peranan sebagai pendekar muda yang membantu pejuang Tok Gajah serta Awang menentang Inggeris cukup dekat dengan dirinya kerana dapat berdialog menggunakan dialek negeri kelahiran.

“Ini adalah filem sulung yang juga sebuah naskhah besar membuatkan saya teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada karya besar ini, selain berbangga bercakap Terengganu.

“Terutamanya apabila saya dapat bawa jiwa seorang pendekar dan kemudian bercakap dalam bahasa Terengganu pula, memang seronok,” ujarnya dengan bersemangat.

Berkongsi lagi pembabitan dalam naskhah itu, Amir mendedahkan, dia terkejut apabila mendapat panggilan pengarah, Saiful Reza Shukor tiga hari sebelum sesi penggambaran bermula.

Katanya, sukar untuk menolak watak Andak kerana dia diperlukan untuk membawa watak anak Terengganu yang mempunyai kemahiran bersilat.

“Reza sebelum ini terbabit dengan pembikinan Projek High Council dan dia yang tawarkan watak ini sebab dia rasa saya pelakon yang paling sesuai untuk watak Andak.

“Walaupun tawaran ini datang kurang tiga hari sebelum penggambaran, saya tidak fikir panjang kerana Andak ini dekat dengan jiwa saya.

“Saya memang tidak pandai memanah tetapi saya sempat berlatih dan buat kajian tentang cara memanah serta pegang pedang.

“Saya sempat pergi latihan sebelum masuk set dan buat kajian mengenai watak dan senjata yang saya gunakan,” jelasnya lagi mengenai filem yang ditayangkan bermula semalam, 11 Januari.

DIKEJAR bayang sensasi, terutama dilabel sombong dan terjerat isu cinta lokasi, Amir Ahnaf enggan semua kisah sedemikian mengganggu fokusnya menjadi lebih versatil dalam lakonan.

Mahir silat

Disoal mengenai babak silat dalam filem itu, Amir memberitahu dia pernah mengikuti kelas silat Cemara Bugis ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) suatu ketika dahulu.

“Saya pernah belajar silat Cemara Bugis dulu. Jadi dengan berbekalkan pengalaman dan skil yang sedikit itu saya gunakan dalam filem ini.

“Begitupun, keserasian dengan teman segandingan untuk babak pertarungan sangat perlu apabila ada antaranya menggunakan senjata.

“Latihan serta disiplin amat penting malah kena fokus agar pergerakan terus lancar,” katanya lagi.
Pendekar Awang Darah Indera Gajah turut membariskan ramai bintang hebat tanah air lain seperti Fattah Amin, Fazura, Nadhir Nasar dan Amerul Affendi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN