fbpx

K2

Pemakai bulu mata palsu diminta bertaubat, qada’ solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tindakan menyambung bulu mata merupakan salah satu trend yang semakin popular dalam kalangan wanita Muslim. – Gambar hiasan

Apakah hukum menyambung bulu mata palsu yang menjadi trend dalam kalangan wanita Muslimah?

Jawapan: Eyelash extensions ialah satu kaedah yang digunakan bagi memanjangkan, menebalkan dan memenuhkan bulu mata asli sedia ada. Pemanjangan mungkin dibuat daripada beberapa bahan termasuklah bulu daripada binatang, sintetik atau bulu kuda. Kaedah ini memiliki dua jenis; bulu mata palsu sementara (false temporary eyelash) yang boleh ditanggal dan bulu mata separa kekal (semi-permanent eyelash). Kaedah utama pemanjangan adalah dengan menggunakan glu pelekat untuk melekatkan bulu tersebut satu persatu secara berasingan pada bulu mata asli. Ini bagi mengelakkan bulu-bulu mata tersebut daripada melekat antara satu sama lain.

Penambahan bulu mata palsu oleh wanita biasanya bertujuan menjadikan bulu mata tampak lebih lentik, lebat atau penuh, supaya mereka tampil kelihatan lebih cantik. Fenomena ini didapati semakin berleluasa dewasa ini khususnya dengan penglibatan selebriti-selebriti tempatan. Justeru, bagi menjawab persoalan di atas terdapat beberapa asas yang perlu diambilkira.

Pada asasnya, Islam tidak melarang umatnya daripada mencantikkan diri. Bahkan Islam menganjurkan umatnya untuk tampil kemas dan kelihatan cantik dengan cara sederhana dan sesuai. Dalam sebuah hadis menyebut:

“Sesungguhnya Allah itu indah dan Dia sukakan keindahan.”

Riwayat Muslim (275)

Berkata Imam al-Munawi: “Dia sukakan keindahan” ertinya orang yang mempercantikkan diri daripada kalangan kamu pada keadaan dirinya…” Rujuk Faidh al-Qodir (2/224)

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hlm. 202-203) berkata:

“Dalam satu peristiwa seorang lelaki telah datang kepada Baginda SAW yang memakai pakaian yang lusuh, lantas Baginda SAW bersabda kepadanya:

“Apakah kamu mempunyai harta? Orang itu menjawab: Ya. Nabi SAW bertanya lagi: Harta yang macam mana? Jawab lelaki itu: Dari macam-macam harta yang diberikan Allah SWT kepadaku. Baginda SAW bersabda: Jika Dia telah memberikanmu harta, bukankah bagus sekali ditunjukkan kesan nikmat Allah SWT kepadamu serta kemuliaan-Nya kepadamu?”Riwayat Abu Daud (4065)

Islam juga menguatkan semangat kebersihan pada tempat-tempat berkumpulnya umat Islam seperti pada hari Jumaat dan kedua-dua hari raya.

Rasulullah SAW bersabda:“Tidak salah seseorang kamu, apabila mempunyai kelebihan rezeki, menyediakan dua pakaian khusus untuk hari Jumaat selain dari dua pakaian biasa untuk bekerja.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (22/287)

Galakan ini tidak terhad kepada lelaki tetapi juga merangkumi wanita. Firman Allah Taala:

“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur:31)

Meskipun begitu, perbuatan tersebut hendaklah dilakukan keadaan sederhana. Islam melarang umatnya daripada sikap keterlaluan, keangkuhan dan penipuan.

Antara perbuatan yang dianggap melampau dan dilarang dalam Islam ialah perbuatan menyambung rambut atau dinamakan sebagai ‘al-wasl’ dalam Bahasa Arab. Orang yang menyambung rambut pula disebut al-wasilah.

Al-wasilah ialah wanita yang menyambung rambut dengan rambut wanita lain agar rambutnya kelihatan panjang dan menyebabkan orang lain menyangka rambut al-wasl (sambungan) tersebut adalah rambut asal. Ia dilakukan oleh wanita yang rambut nipis atau wanita berambut perang yang menyambung rambutnya dengan rambut hitam. (Lihat Ma’alim al-Sunan oleh al-Khattabi, 4/256)

Larangan tersebut adalah berdasarkan hadis daripada Asma’ bint Abi Bakr R.Anhuma, bahawa seorang wanita datang menemui Rasulullah SAW lalu mengadu kepadanya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai seorang anak perempuan yang baru menikah. Dia telah terkena penyakit cacar sehingga menyebabkan rambutnya keguguran. Bolehkah saya menyambung rambutnya (dengan rambut palsu)? Lalu Baginda SAW bersabda:

“Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya).”

Riwayat Muslim (5687)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, seorang gadis Ansar baru berkahwin. Dia telah jatuh sakit menyebabkan rambutnya banyak yang gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut tersebut (dengan rambut palsu). Mereka kemudian bertanya kepada Nabi SAW lalu Baginda bersabda:

Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya.

Riwayat al-Bukhari (5934)

Imam al-Nawawi berkata, hadis ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut, dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak. Inilah pendapat yang kuat. (Lihat Syarh Sahih Muslim al-Nawawi, 14/103)

Imam al-Son’ani berkata: Al-wasilah (الْوَاصِلَة) ialah perempuan yang menyambung rambutnya dengan rambut selainnya (rambut palsu), sama ada dia melakukan aktiviti menyambung rambut tersebut untuk dirinya mahupun orang lain. Sedangkan mustausilah (المُسْتَوْصِلَة) adalah orang yang minta disambungkan rambut. (Lihat Subul al-Salam, 5/49)

Dalam kitab Nail al-Autor (6/22), Imam al-Syaukani menyebut:

“Menyambung rambut itu diharamkan kerana laknat itu tidak dikenakan pada yang tidak diharamkan.”

Lalu dia menyebut huraian Imam al-Nawawi:

Inilah hukum yang zahir dan terpilih. Para Ashab kami telah menjelaskannya:

  • Apabila perempuan menyambung rambutnya dengan rambut manusia maka hal itu jelas haramnya tanpa perselisihan; sama ada yang disambungkan itu rambut dari lelaki mahupun perempuan, rambut mahramnya dan rambut suaminya mahupun rambut yang selain dari keduanya, tanpa diperselisihkan lagi kerana terangkum dalam keumuman dalil-dalil tersebut; dan kerana keharaman mengambil manfaat daripada rambut anak Adam dan sekalian bahagian badannya kerana kemuliaan bahkan dikebumikan rambut, kuku dan juzuk-juzuk anak Adam itu. Itu jika disambung dengan rambut anak Adam.
  • Namun apabila seorang perempuan menyambung rambutnya dengan rambut yang najis seperti bulu/rambut bangkai atau rambut haiwan yang tidak dimakan dagingnya apabila berpisah daripada badannya semasa hidup, maka hukumnya haram juga kerana hadis di atas, dan kerana dia secara sengaja membawa najis ke dalam solatnya dan yang juga diluar solat.

Kedua hal ini sama sahaja hukumnya baik bagi yang sudah berkahwin atau tidak, baik lelaki mahupun perempuan. Adapun rambut yang suci yang bukan dari manusia, sekiranya perempuan itu tidak mempunyai suami atau tuan maka hukumnya juga haram. Sekiranya ada, maka terdapat tiga pendapat;

  • Tidak dibolehkan kerana zahir hadis-hadis di atas.
  • Dibolehkan:
  • Paling sahih di sisi Syafieyyah: Apabila perempuan itu menyambungnya dengan izin suami atau tuannya, maka hal itu dibolehkan. Sekiranya tidak diizinkan, haram

Pendapat ketiga ini adalah pendapat yang paling sahih bagi mereka.

Keterangan yang hampir sama disebut oleh Imam al-Ghazali ketika menganalisis isu ini dalam kitabnya al-Wasit (2/17) dengan kenyataan berikut:

“Adapun menyambung rambut itu;

  • Sekiranya rambut itu daripada jenis najis maka hukumnya adalah haram
  • Sekiranya rambut itu daripada jenis manusia;
    • Jika daripada rambut wanita ajnabi maka haramlah kerana suaminya melihat kepadanya
    • Jika daripada rambut lelaki maka haram ke atas wanita itu melihat kepadanya.

Kedua-dua ini kerana pendapat mazhab bahawa haram melihat kepada anggota yang terputus.

  • Sekiranya rambut itu daripada jenis haiwan ternakan
    • Jika wanita itu tiada suami maka dengan memakainya akan mendedahkan dirinya untuk ditohmah maka haram.
    • Jika wanita itu ada suami maka haram juga kerana menipu. Namun jika suaminya memberi izin, terdapat dua wajah;
      • Wajah pertama: Haram kerana keumuman hadis dan kerana usaha mengubah ciptaan.
      • Wajah kedua: Harus atas sebab qias kerana tiada makna untuk diharamkan melainkan jika menipu.”

Rujuk al-Wasit (2/168-170)

Fatwa-Fatwa dan Pandangan Ulama’

  • Fatwa Jordan berkenaan pemakaian rambut palsu (wig):

Tidak mengapa memakai wig di dalam rumah jika suami mengizinkan bagi mereka yang mengidap penyakit kanser lalu menyebabkan keguguran rambut. Namun hendaklah tidak memperlihatkannya kepada orang luar kerana ia sebahagian daripada perhiasan. Kebolehan itu juga dengan syarat hendaklah wig itu bukan diperbuat daripada rambut manusia dan bukan daripada bulu yang najis.

  • Fatwa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’:

Tidak diharuskan penggunaan kuku palsu, bulu mata palsu (buatan) dan kanta (lens) berwarna warni kerana memberi kemudaratan pada tempat tersebut. Begitu juga kerana terdapat penipuan dalam perkara ini. Ia juga mengubah ciptaan Allah.

  • Dr Muhammad Abdul Aziz dalam Zinah al-Mar’ah baina al-Tib wa al-Syar’ (Perhiasan Wanita Antara Perubatan dan Syara’) berkata:

Adapun bulu mata buatan dan bahan-bahan yang melapisi bulu mata asal, sebahagian pakar-pakar perubatan berkata bahawa ia terbuat daripada garam-garam nikel atau daripada pelbagai jenis getah tiruan Kedua-duanya merupakan boleh menyebabkan radang kelopak mata dan keguguran bulu mata.[5]

 

Kesimpulan

Dalam isu pemakaian bulu mata palsu ini juga, kami berpandangan perlulah dilihat daripada beberapa sudut:

  • Kesucian
    • Memasang bulu mata palsu adalah haram jika menggunakan bahan bernajis seperti bulu bangkai kerana tidak sah dibawa solat dan jika di luar, haram kerana sengaja menajis badan tanpa ada keperluan (al-tadammukh bi al-najasah).
    • Jika menggunakan bulu mata palsu separa kekal dengan menggunakan gam yang akan menghalang air daripada sampai ke kulit dan setiap bulu mata, mata hukumnya juga adalah haram kerana menghalang sahnya wudhu’ dan mandi wajib.
  • Qias dengan larangan menyambung rambut
    • Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah SWT.
  • Kesihatan
    • Haram memakai bulu mata palsu yang menggunakan bahan-bahan yang memudaratkan nyawa dan tubuh badan manusia sedangkan tujuan Syarak adalah hifz al-nafs (menjaga nyawa manusia). Ini berdasarkan firman Allah Taala:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

  • Kecantikan
    • Haram hukumnya memasang bulu mata palsu sementara dan separa kekal bagi tujuan kecantikan dengan menggunakan bulu atau rambut manusia, haiwan, bulu sintetik, tanpa keizinan suami. Ini kerana terdapat unsur penipuan dan mengubah ciptaan Allah SWT.
    • Namun dibolehkan memakai bulu mata palsu yang menggunakan selain rambut manusia atau bulu najis, dengan keizinan suami, dan tidak menggunakan bulu mata palsu separa kekal yang menghalang air untuk bersuci. Ini kerana bercantik dan berhias untuk suami itu digalakkan dalam Syarak. Rujuk al-Majmu’ (3/141).
    • Begitu juga sekiranya terdapat keperluan mendesak seperti seseorang yang ditimpa penyakit, ditimpa kemalangan, terbakar atau yang seumpamanya daripada perkara-perkara kecacatan lalu menyebabkan bulu matanya rosak atau cacat, maka pemakaiannya adalah dibolehkan pada ketika itu, tanpa menggunakan bulu manusia, bahan bernajis dan tidak menghalang air untuk bersuci. Daripada Sayyidina Ali RA, katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang meninggalkan pangkal rambut daripada terkena air ketika mandi janabah walaupun sehelai, Allah akan melakukan begini-begini dengan api neraka.” Ali berkata: Sejak itu aku tidak menyukai rambutku.

Riwayat Abu Daud (249).

Adapun bulu mata yang ditanam ke dalam kulit, maka ia tidak menghalang sahnya wuduk.

Berdasarkan kesimpulan di atas, kami menyeru agar mereka yang memakai bulu mata palsu yang diharamkan Hukum Syarak meninggalkan perbuatan berkenaan dan bertaubat kepada Allah SWT dan melakukan perkara-perkara berikut:

  • Hendaklah bulu mata palsu itu dicabut dan gamnya dilunturkan untuk membenarkan air sampai ke bulu dan kulit semasa bersuci.
  • Jika bulu mata palsu itu tidak boleh dicabut, melainkan akan menyebabkan kecacatan kepada bulu mata dan mata, maka dibenarkan mengekalkannya sehingga dia gugur sendiri setelah tamat tempohnya. Dalam tempoh tersebut, wajiblah pemakainya berwudhu’ dan mandi wajib seperti biasa dan solat hormat waktu. Namun setelah tamat tempoh bulu mata tersebut, maka wajib dia mengulangi kembali mandi wajib dan semua solat-solatnya yang dilakukan dalam tempoh memakai bulu mata palsu tersebut kerana mengambil hukum faqid al-tohurain (orang yang tidak boleh bersuci dengan air atau tanah). Ini juga sebagai taghlizan (pengajaran yang berat) agar tidak cuai lagi dalam isu-isu kebersihan dalam Islam. Ini adalah pendapat yang lebih berhati-hati.
  • Namun, jika seseorang itu lemah imannya dan ditakuti akan terjerumus ke lembah kekufuran kerana tidak mampu mengqadha’ semua solat yang ditinggalkan dalam tempoh pemakaian bulu mata palsu tersebut, maka dalam keadaan darurat seperti ini diharuskan untuk bertaqlid dengan pendapat Imam al-Nawawi bahawa apabila solat itu sudah dilaksanakan pada waktunya maka tidak perlu mengulangi semula. Rujuk Tuhfatul Muhtaj (1/379) oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami. Ini juga merupakan pendapat yang sahih dalam mazhab Hanbali. Rujuk al-Mughni (1/184) oleh Imam Ibn Qudamah. Begitu juga dalam soal mandi wajib, terdapat pendapat lemah ulama Syafieyyah yang menganggap kotoran di bawah kuku dan ruang bahagian dalam simpulan rambut, yang menghalang air, adalah dimaafkan kerana terlalu sedikit. Rujuk Kifayah al-Akhyar (hlm. 43); Hasyiah al-Syirwani (1/187)

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang jelas kepada kita semua yang bahawa isu halal dan haram dirujuk kepada nas dan para ulama’ agar segala tindakan kita berbetulan dengan neraca Syarak. Kami nasihatkan kepada semua pihak khususnya para wanita agar berhias dan mencantikkan diri dengan kadar yang sederhana, tidak menunjuk-nunjuk, dan tidak mengubah ciptaan Allah seperti mana yang dilakukan oleh kaum Jahiliyyah.

Wallahua’lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI