fbpx

K2

Urus wang dengan bijak ketika kemelut ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

DALAM keadaan ekonomi meruncing kini, ramai yang menuding jari kepada berbagai pihak untuk mencari ‘sasaran’ yang harus dipersalahkan.

Namun, ramai dalam kalangan masyarakat gagal memahami bahawa isu ekonomi ini sebenarnya bermula daripada gaya hidup peribadi.

Jika kita lihat, bila sudah mula ada pendapatan, saat mendapat gaji merupakan satu detik kegembiraan atas titik peluh kita sendiri.

Bagaimanapun, sesetengah daripada kita tidak mengambil tahu cara menguruskan kewangan peribadi.

Pengurusan kewangan yang salah merupakan satu bom jangka yang boleh menyebabkan individu sengsara di hari tua.

Bijak dalam merencana penggunaan wang adalah suatu tindakan agar pengurusan ekonomi bertambah baik, selain dapat keluar daripada kemerosotan ekonomi melalui kekuatan individu.

Contohnya, godaan untuk membeli kopi mahal setiap petang boleh menjadi perangkap untuk individu terutama anak muda dalam berbelanja. Pendapatan kurang tetapi belanja pula mahu bermewah-mewah.

Masyarakat perlu benar-benar tahu bahawa setiap perbelanjaan yang mereka buat turut merupakan kuasa beli yang mereka ada.

Sebagai masyarakat yang mempunyai tahap pendidikan dan pemikiran yang tinggi, gunakanlah kaedah mengurus kewangan peribadi untuk keluar daripada kemelut ekonomi kini.

Individu yang bijak mengurus kewangan peribadi sepatutnya menghitung kadar gaji selepas cukai.

Cara pertama untuk uruskan kewangan peribadi adalah dengan mengira gaji selepas cukai. Mereka harus hitung berapa gaji yang mereka dapat selepas cukai atau erti kata lain, gaji yang sebenarnya mereka bawa pulang.

Selain daripada itu, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, masyarakat juga mestilah mengawal perbelanjaan dengan membuat belanjawan bagi pelbagai keperluan.

Pengurusan kewangan yang salah merupakan satu bom jangka yang boleh menyebabkan individu sengsara di hari tua. – gambar hiasan

Kini, mereka perlu mendisiplinkan perbelanjaan.

Contohnya, individu perlu mengasingkan pembelian kopi mahal setiap pagi sebagai belanja kehendak daripada perbelanjaan makanan dan gunakan untuk pembelian lain yang merupakan keperluan.

Sekiranya mereka boleh merekod setiap perbelanjaan mereka, ini boleh membawa banyak kebaikan.

Menerusinya, pada akhir bulan, masyarakat boleh menilai jumlah perbelanjaan mereka adakah pembelian yang boleh mereka potong untuk merancang perbelanjaan mengikut keutamaan.

Kini, kita masuk pula kepentingan mengenal pasti keperluan dan kehendak. Menguruskan kewangan peribadi boleh dilakukan dengan mengetahui bahawa keperluan dan kehendak adalah dua perkara berbeza.

Keperluan meliputi sebarang transaksi yang tetap dan boleh diramal seperti perbelanjaan makanan, insurans kesihatan, ansuran rumah, pembayaran kenderaan dan pembayaran hutang.

Berbeza dengan kehendak yang umumnya fleksibel dan sukar untuk diramal, seperti gaya hidup membeli impulsif apabila terdapat produk pakaian diskaun, membeli hadiah hari jadi kawan dan lain-lain.

Dalam keadaan ekonomi yang merudum, pembentukan pemikiran masyarakat perlu lebih berdisiplin dalam pemisahan perbelanjaan ini.

Masyarakat jangan leka dan berbelanja untuk perkara yang sebenarnya tidak penting.

Di sini saya beri tip apa yang boleh dilakukan selepas sebulan perbelanjaan untuk menghitung pendapatan bersih.

Selepas sebulan, cuba kira perbezaan antara pendapatan bulanan berbanding jumlah perbelanjaan bulanan. Dari situ, kita akan mengetahui sama ada skor pendapatan adalah lebihan (positif) atau defisit (negatif).

Jika mendapat lebihan, maka wang yang tinggal itu boleh dilaburkan, beramal, membayar hutang supaya cepat habis ansuran, malah digunakan untuk membeli barangan kehendak mengikut hajat. Ini akan berbeza jika pendapatan mereka mengalami defisit.

Untuk menganalisis semula jumlah pendapatan, orang ramai boleh gunakan peraturan perbelanjaan 50-30-20 sebagai cara menguruskan kewangan peribadi.

Pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga item perbelanjaan iaitu 50 peratus untuk perbelanjaan penting atau perlu, 30 peratus untuk perbelanjaan tidak penting atau mahu, serta 20 peratus untuk simpanan dan pelaburan.

Itulah beberapa kaedah yang harus diaplikasikan untuk keluar daripada kemelut kewangan yang dihadapi masyarakat kini.

Jadikan cara mengurus kewangan peribadi ini sebagai strategi untuk merealisasikan impian dan keluar daripada kemelut ekonomi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI