fbpx

Konflik Palestin-Israel: 10 anak-anak Gaza putus kaki setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak yang cedera menerima rawatan di Hospital Nasser, Khan Yunis pada 20 Disember 2023. – AFP

BANDAR GAZA – Lebih 10 kanak-kanak di Gaza hilang sama ada satu atau kedua-dua kaki mereka pada setiap hari sejak tentera Israel mula menyerang Gaza pada 7 Oktober 2023, kata pertubuhan kebajikan Save the Children seperti laporan saluran berita CNN kelmarin.

Menurut Save the Children, lebih menyayat hati, kebanyakan prosedur pemotongan anggota badan itu terpaksa dilakukan tanpa ubat bius.

Memetik statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pengarah Save the Children, Jason Lee berkata, penderitaan kanak-kanak Gaza dalam konflik tersebut tidak lagi dapat dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Perbuatan membunuh dan mencacatkan kanak-kanak adalah pelanggaran serius hak asasi, manakala pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau merujuk kepada jurucakap Tabung Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), James Elder yang memberitahu, kira-kira 1,000 kanak-kanak putus satu atau kedua-dua kaki mereka sejak perang di Gaza meletus.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memaklumkan bahawa kebanyakan pembedahan ke atas kanak-kanak dilakukan tanpa bius disebabkan masalah kekurangan bekalan perubatan dan barangan asas di Semenanjung Gaza.

Menurut Jason, dia sendiri melihat bagaimana doktor dan jururawat sukar mengawal perasaan mereka apabila melihat kanak-kanak dibawa ke hospital dengan luka akibat letupan.

“Melihat kanak-kanak berada dalam kesakitan tidak terperi serta tidak mempunyai peralatan mencukupi dan ubat untuk merawat mereka, adalah pengalaman ngeri yang terpaksa ditempuh oleh pengamal perubatan,” ujarnya.

Tambah Jason, kanak-kanak adalah hampir tujuh kali ganda lebih berisiko untuk mati akibat kecederaan disebabkan letupan berbanding orang dewasa.

Ini kerana mereka kurang daya tahan terhadap kecederaan.

“Tengkorak kanak-kanak masih belum terbentuk dengan sempurna, manakala otot mereka belum matang dan kurang menawarkan perlindungan.

“Justeru, letupan lebih berisiko untuk menghancurkan organ dalaman kanak-kanak meskipun tidak kelihatan di bahagian luar badan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, UNICEF turut memberi amaran ancaman tiga kali ganda ke atas kanak-kanak di Gaza yang bukan sahaja berdepan bahaya konflik, tetapi juga kekurangan nutrisi dan wabak penyakit.

“Kes cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak bawah umur lima tahun meningkat 2,000 peratus berbanding sebelum perang.

“Peningkatan ketara wabak penyakit dalam jangka masa singkat adalah bukti kukuh bahawa keadaan kesihatan kanak-kanak di Semenanjung Gaza merosot dengan pantas,” kata agensi PBB tersebut.

Selain itu, 90 peratus kanak-kanak bawah umur dua tahun di Gaza mengalami kekurangan makanan yang serius, meningkat daripada 80 peratus berbanding angka pada dua minggu sebelumnya.

“Apabila semua faktor ini bergabung, kitaran maut akan wujud,” kata UNICEF. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI