PETALING JAYA – “Ramai yang panggil saya puan dan kakak.”
Demikian kata Muhammad Nor Adam Ziqril Bah Rasad, 23, yang mengakui ramai yang keliru dan menyangka dia adalah wanita hanya kerana memiliki suara yang lembut.
Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kepujian Matematik, Universiti Teknologi Mara, Seremban itu, dia menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggap ia sebagai anugerah terindah kerana tidak semua orang diberikan dengan kelebihan tersebut.
Menurut Muhammad Nor Adam, sewaktu berada di sekolah menengah, dia menyedari suaranya tidak seperti lelaki lain atau mereka yang sebaya dengannya.
“Ketika itu mungkin saya tidak kisah sebab sangka belum baligh. Bila bergaul dengan kawan-kawan, ramai yang mula kata suara saya macam perempuan.
“Kemudian saya merakam dan mendengar semula suara tersebut untuk dinilai sendiri,” katanya kepada Kosmo!.
Muhammad Nor Adam atau lebih dikenali sebagai Siti Shower berkata, dia bersyukur kerana rakan-rakan menerima dirinya seadanya biarpun pada awalnya ramai yang pelik dan terkejut terutama bagi mereka yang pertama kali berjumpa dengannya.
“Sewaktu di tingkatan empat, saya tinggal di asrama, jadi waktu mula masuk (mendaftar diri), kawan sebilik berasa kekok hendak berbual dengan saya. Ada yang bertanya berulang kali sama ada saya lelaki atau sebaliknya.
“Yang terbaharu, saya tinggal di rumah sewa. Sewaktu mula masuk saya sampai awal berbanding penyewa lain, saya meletakkan barang-barang dan keluar semula.
“Apabila pulang semula ke rumah sewa, saya ketuk pintu dan kawan-kawan di dalam rumah terkejut mereka sangka ada wanita yang datang ke rumah tersebut,” kongsinya.
Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, setiap kali menjawab panggilan telefon daripada seseorang yang tidak dikenali, pasti mereka akan memanggilnya dengan gelaran puan atau kakak.
“Mereka yang kenal saya juga kerap tersasul memanggil saya kakak dan puan. Apabila berada di kedai makan, walaupun berpakaian seperti lelaki, masih ada yang sangka saya perempuan.Momen seperti itu yang menghiburkan hati saya setiap hari,” katanya.














