fbpx

Zii Jia, Aaron-Wooi Yik pilihan juara Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHONG Wei (kiri), Nehwal (tengah) dan Lin Dan ketika hadir pada majlis pengenalan muka baharu 'Yonex Legend Vision' di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menganggap perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebagai pilihan untuk merangkul gelaran pada kejohanan Terbuka Malaysia 2024.

Peminat badminton tanah air masih menanti-nanti siapakah wakil negara yang bakal menamatkan kemarau kejuaraan di Terbuka Malaysia selepas kali terakhir dilakukan Chong Wei pada edisi 2018.

Berdasarkan prestasi semasa, Chong Wei menyifatkan Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik sebagai calon terbaik bagi memastikan Malaysia menamatkan aksi Jelajah Dunia Super 1000 itu dengan penuh bergaya.

“Peluang terbaik (rangkul gelaran) Terbuka Malaysia adalah menerusi Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia. Bagaimanapun, kita perlu tengok kondisi serta permainan mereka pada kejohanan itu nanti.

“Bagi saya, Terbuka Malaysia sangat penting kerana kita bermain di tempat dan rumah sendiri selain harapan yang tinggi. Penyokong datang tengok di stadium dan ia tanggungjawab yang berat,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengenalan muka baharu ‘Yonex Legend Vision’ di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah legenda badminton dunia, Lin Dan dan jaguh perseorangan wanita India, Saina Nehwal yang menjadi muka baharu dalam barisan ‘Yonex Legend Vision’ bersama bintang Sepanyol, Carolina Marin.

Tambah Chong Wei, beliau pernah menyaksikan pengorbanan seorang penyokong yang sanggup menempuh cabaran untuk datang memberikan sokongan kepadanya ketika beraksi dalam salah satu edisi Terbuka Malaysia.

“Saya pernah nampak ada orang datang dari Kuantan semata-mata untuk menyaksikan Terbuka Malaysia. Saya jumpa dia dan dia cakap datang naik bas, itu membuatkan saya benar-benar tersentuh.

“Justeru, pemain-pemain perlu bekerja keras dan cuba tampilkan aksi terbaik walaupun kadang-kadang prestasi kurang memuaskan. Kalah tidak mengapa kerana yang penting anda tidak mudah mengalah dan bermain hingga ke penamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI