fbpx

PDRM kerjasama dengan UKM, mantapkan penyelidikan banteras dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan (dua dari kiri) menerima cenderamata kepada Mohd. Ekhwan selepas sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi meningkatkan penyelidikan dan latihan dalam usaha memerangi ancaman dadah dan bahan psikoaktif baru (NPS).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dana sebanyak RM1.2 juta yang diberikan akan digunakan untuk menambah baik instrumen makmal selain memantapkan penyelidikan berkaitan dadah secara menyeluruh.

“Jaringan kerjasama strategik ini diharapkan mampu mempertingkatkan lagi usaha PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah dengan lebih efektif.

“Kerjasama ini bagi peluang kepada penyelidik meneroka ilmu baharu yang seterusnya digunakan sebagai metodologi pelaksanaan operasi anti dadah,” katanya

Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Mohd. Ekhwan Toriman dan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, antara tujuh aspek penyelidikan yang akan dilaksanakan dalam kerjasama tersebut adalah melaksanakan kajian dan penyelidikan berkenaan perincian sebatian aktif.

“Pertama, kajian ini akan menentukan apakah bahan-bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan dadah.

“Ini bagi membolehkan polis dengan kerjasama Lembaga Racun di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk merangka satu SOP (prosedur operasi standard) atau undang-undang baharu,
ataupun memperkemas undang-undang yang ada bagi mengawal ketat bahan bahan kimia tersebut,” katanya.

Tambah Ayob, turut dijalankan kajian bagi mengenal pasti bahan bahan kimia yang boleh mendorong pengguna menjadi lebih ganas dan terbabit dalam jenayah kekerasan dan harta benda.

Jelas beliau, mengikut kajian dibuat awal dibuat oleh pihak JSJN, hampir 60 peratus penagih dadah yang ditangkap terlibat dalam jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

Selain itu, katanya kerjasama strategik itu turut akan melaksanakan kajian dan penyelidikan berkaitan penentuan kadar dos ketagihan.

“Ia bagi menentukan kadar minima dos yang boleh mendorong penagih ketagih dadah selain menentukan proses rawatan dan pemulihan mereka kelak.

“Melalui kerjasama ini kita juga akan melaksanakan penyelidikan penjejakan molekul asal dadah bagi menentukan jenis dadah yang akan memudahkan penyiasatan pihak polis.

“Seterusnya membangunkan pangkalan dadah forensik NPS untuk rujukan agensi penguatkuasaan di Malaysia dan di Asia Tenggara. Pangkalan data ini akan ditempatkan di makmal forensik Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam pada itu, katanya PDRM dan UKM juga akan bekerjasama dalam menghasilkan strip ujian jenis elektrod biosensor yang lebih berkualiti dan tepat.

Bagi membanteras sindiket dadah yang beroperasi di banggunan seperti kondominium, Ayob memaklumkan turut dijalankan kajian menerusi residu dadah di loji kumbahan.

“Ini mensasarkan kepada bangunan tinggi seperti kondominium, kawasan perumahan elit dan ‘gated community’ untuk mengesan pengguna dan makmal dadah,” katanya.

Menerusi kerjasama itu, Ayob memaklumkan pihaknya turut menghantar lapan pegawai membabaitkan seorang pegawai berpangkat Asisten Supritendan dan tujuh inspektor untuk mengikuti kursus jangka panjang dan pendek dalam peringkat penyelidikan.

“Mereka bakal mengikuti enam kursus jangka panjang dan dua sijil profesional untuk memantapkan lagi siasatan dan juga operasi terhadap sindiket dadah,”katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI