Bandar baharu Gamuda Cove di Kuala Langat, Selangor yang dimajukan oleh Gamuda Land, sayap hartanah Gamuda Berhad menyuntik satu elemen baharu dalam dunia hartanahnya dengan membangunkan Taman Tema Air Splashmania telah menjadikan ia popular sebagai satu destinasi pelancongan selain mampu menarik pelancong asing.
Meskipun projek pembinaannya yang telah dimulakan sejak tahun 2018 terkesan akibat pandemik dan hanya mula dibuka kepada umum pada suku pertama tahun 2023, namun taman tema itu telah mendapat sambutan baik sepanjang setahun fasa awalnya itu yang sehingga kini mampu mencapai kadar purata pengunjung kira-kira 75,000 orang sebulan.
Hasil inovatif dan keistimewaannya yang memiliki 24 gelongsor air menarik, ekstrem, luar biasa dan ada juga yang pertama diperkenalkan di Malaysia membuatkan pengunjung begitu teruja untuk mencuba pengalaman yang akan meningkatkan adrenalin mereka, selain meneroka 15 tarikan lain yang disediakan bersesuaian untuk semua peringkat umur serta memanfaatkan kemudahan asas lain seperti tandas, surau dan restoran yang selesa kepada semua.
Pengurus Besar Riadah dan Hospitaliti Gamuda Land, N. Sanjay yang memiliki pengalaman lebih daripada 14 tahun dalam industri itu berkata, kejayaan taman tema tersebut melalui beberapa anugerah yang diterimanya disumbangkan oleh kumpulan tenaga kerjanya yang begitu komited dan bersungguh-sungguh dalam tugasan sejak ia mula beroperasi sehingga mampu mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Faktor jualan yang terletak pada keunikan gelongsor air di taman tema air ini memberi satu kelebihan buat syarikat yang dikategorikan sebagai pemain baharu dalam industri ini.
“Ini bukan kejayaan saya seorang sahaja tetapi sokongan daripada semua orang dalam kumpulan dan juga rakan perniagaan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan secara ringkas perkembangan terkini Splashmania?
Sanjay: Di sini terdapat 24 gelongsor air yang berinovasi seperti gelongsor air Wild Rush, Shaka Waka dan The Plunge iaitu gelongsor berwarna biru lurus yang menjulur keluar dari kapal lanun Amazonia Ship yang dikatakan antara paling ekstrem.
Pelbagai aktiviti dan promosi yang dilaksanakan termasuk yang terbaharu bersempena Krismas dan musim cuti sekolah, kami lancarkan kempen Santa’s Ho-Ho-Holidays.
Dari aspek hiburan dan keselamatan, kami memiliki kumpulan utama yang berpengalaman dalam bidang hiburan dan juga memiliki lebih daripada 60 penyelamat yang mana 90 peratus daripadanya memiliki sijil dan bagi keseluruhan pekerja di sini adalah kira-kira 260 orang.
Berpuas hati dengan pencapaian sehingga kini?
Sebagai ketua, sememangnya saya mahu mencapai kejayaan yang lebih besar tetapi daripada aspek pencapaian KPI, saya berpuas hati dengan kumpulan.
Kami telah mencapai KPI yang ditetapkan. Untuk tahun depan, kami perlu bekerja lebih gigih lagi.
Saya berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua orang. Ini adalah tahun pembukaan atau tahun pertama buat kami dan masih banyak lagi yang perlu diperbaiki dan dipertingkat untuk memberi pengalaman terbaik dan menarik kepada pelanggan.
Meskipun baru setahun beroperasi, syarikat telah menerima beberapa anugerah. Apa faktor yang menyumbang kepada kejayaan tersebut?
Splashmania memiliki gelongsor air yang unik dan ada yang ekstrem dan itu adalah keistimewaan kami.
Disebabkan itu, kami dinobatkan sebagai Taman Tema Air Terbaik. Kami juga ada menerima anugerah daripada Persatuan Taman Tema Dunia untuk Best Waterpark Brochure yang mana ia lebih kepada kejayaan dalam aspek pemasaran.
Kami juga memiliki keunikan dalam promosi dan pemasaran melalui digitalisasi yang mana laman web dan aplikasi kami berjalan dengan lancar dan cekap. Kami juga disokong oleh rakan dan juga kumpulan media sosial.
Mereka terdiri daripada orang muda, selalunya golongan ini sentiasa melihat sesuatu itu dari sudut pandangan berbeza, ini banyak membantu kami memahami asas pelanggan.
Ini turut membantu Kumpulan Gamuda Land yang sedang mengembangkan perniagaan bukan hanya tertumpu kepada bidang hospitaliti dan santai.
Jika dahulu, Gamuda terkenal dengan projek pembinaan lebuh raya dan terowong kemudian beralih kepada pembangunan kediaman dan kini meluaskan perniagaan kepada bidang pembangunan bandar baharu yang lengkap dengan segala kemudahan disediakan.

Berapa jumlah pengunjung dicatatkan pada masa sekarang dan sasaran pada tahun ini?
Secara purata, lebih kurang 75,000 orang setiap bulan dan ada masanya jumlah pengunjung menurun seperti pada bulan puasa dan akan meningkat pada musim cuti sekolah.
Kami jangkakan pertumbuhan jumlah pengunjung pada tahun ini adalah kira-kira 30 hingga 35 peratus. Antara sebab kenaikan ini adalah lokasi yang strategik berada berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Selain itu, pelaksanaan kemasukan tanpa visa untuk pelancong dari China, India, Turkiye dan Jordan mulai 1 Disember lalu juga menunjukkan jumlah pelancong asing semakin bertambah.
Jika sebelum ini, pengunjung datang dari Singapura dan Indonesia, ada juga dari Taiwan dan Hong Kong tetapi semakin ramai jumlah pelancong asing berkunjung ke sini.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam industri ini?
Perkara utamanya adalah tenaga kerja yang mana ia bukan kerana gaji semata-mata tetapi ia memerlukan minat yang mendalam.
Tanpa minat, kerja ini tidak boleh dilakukan. Sebagai contoh, bagi mereka yang bertugas sebagai penyelamat mereka terpaksa berada di bawah terik matahari. Tanpa minat yang mendalam, mereka tidak boleh melakukannya.
Apatah lagi, ketika semua orang bercuti, taman tema ini akan beroperasi dan bekerja setiap hari.

Pada hari biasa, taman tema ini akan ditutup pada hari Rabu. Ini adalah bidang yang memerlukan kesabaran dan minat yang mendalam.
Jadi, untuk mencari orang yang bersesuaian dalam bidang ini adalah satu cabaran yang besar buat syarikat. Isu ini bukan sahaja dihadapi oleh pemain dalam bidang ini tetapi juga dalam sektor perkhidmatan lain seperti hotel.
Apakah perancangan terbaharu syarikat pada tahun 2024?
Banyak lagi yang perlu dilakukan Splashmania. Kami akan melabur lagi untuk tarikan baharu pada masa akan datang bagi memberi pengalaman buat pengunjung.
Lebih menarik pada tahun lalu, terdapat tiga syarikat telah menempah keseluruhan taman tema ini untuk penganjuran hari keluarga mereka, kami tutup sehari kepada orang ramai. Ini membuktikan kami mampu melakukan yang terbaik lagi pada masa depan.
Selain itu, terdapat satu lagi tarikan Skyline Luge Gamuda Gardens di Rawang yang mana ia telah memberi peluang meneroka kepada Kumpulan dalam pelbagai aspek.
Projek tersebut telah menarik minat sebuah syarikat dari New Zealand untuk bekerjasama. Kami melihat ini adalah keupayaan kami dalam projek pembangunan bandar baharu dengan kejayaan menarik minat pelabur asing.
Ia turut dilihat dalam projek di Gamuda Cove yang mana Dusit International, salah satu syarikat hartanah terkemuka Thailand yang akan menguruskan sebuah hotel di kawasan bandar tersebut dan terletak hanya 1.5 kilometer dari Splashmania.
Mereka memiliki nama besar di pasaran antarabangsa dan kejayaan ini memberi petunjuk yang baik kepada Gamuda Land. -KOSMO! ONLINE












