fbpx

Warga emas terkejut ular tedung selar bawah rak baju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ular tedung selar yang bersembunyi di bawah rak baju penduduk kampung di Kampung Keledang, Baling, semalam.

BALING – Seorang penduduk kampung terkejut apabila terlihat seekor ular tedung selar di sebalik rak baju ketika mahu tidur di dalam bilik rumahnya, di Kampung Keledang, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Omar Ishak, 67, berkata, sebelum ternampak ular berbisa itu, dia melihat seekor kucing dalam keadaan yang tidak tenteram berhampiran rak baju di tepi pintu bilik tidurnya.

Menurutnya, sebelum itu, dia terdengar bunyi agak pelik dari rak baju itu dan terkejut apabila mendapati seekor ular tedung selar besar sedang berlingkar di bawah rak baju ketika hendak tidur.

Lantas dia berlari keluar dari bilik itu dan menutup pintunya untuk meminta bantuan anak saudaranya untuk memanggil Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi membantu menangkap ular berkenaan.

“Saya amat terkejut melihat ular tedung selar sebesar itu berada berhampiran hujung kaki saya, nasib baik saya cepat sedar, jika tidak, saya tidak tahu apakah nasib saya sekiranya terlelap tidur,” kata Omar.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata, pihaknya yang menerima panggilan berhubung kehadiran ular berkenaan pada jam 4.40 petang bergegas ke lokasi dan tiba di situ kira-kira 15 minit kemudian.

“Lima anggota yang tiba di situ kemudian melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ular tedung selar yang panjangnya lima meter dan beratnya 20 kilogram itu masih berada di bawah rak baju berkenaan.

“Anggota yang terlatih itu terpaksa berhati-hati untuk menangkap ular spesis ‘King Cobra’ dan paling berbisa itu supaya ia tidak terlepas dengan menggunakan peralatan penjerut,” kata Mohd Faizol.

Katanya lagi, ular itu agak agresif dan garang serta cuba menyerang anggota, setelah bertungkus lumus selama 30 minit akhirnya ular tedung selar itu berjaya ditangkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI