Kecoh tentang wanita tidak pandai siang ikan dan memasak, namun bagi gadis Pesona Ahad Lyana Shaedun, 21, perkara itu tidak sepatutnya diperbesarkan kerana skil berkenaan boleh dipelajari.
Akui penuntut Management & Science University (MSU) ini, bahawa dia juga mula belajar memasak ketika bergelar pelajar berikutan tinggal jauh dari keluarga.
Kepada Kosmo! Ahad, anak bongsu daripada dua beradik itu juga berpandangan kecantikan seseorang lebih terserlah apabila disertai dengan ilmu dan kebijaksanaan.
KOSMO! AHAD: Boleh ceritakan tentang diri Lyana.
LYANA: Penuntut Perhubungan Awam di MSU dan aktif dalam dunia tarian K-Pop. Kumpulan tarian inisiatif saya dan rakan-rakan pelajar yang sama-sama meminati tarian tersebut. Kalau artis K-Pop saya minat kumpulan NCT.
Pengalaman hidup yang menjadi pengajaran?
Ada satu kali saya menghadapi konflik yang besar dengan rakan, sejak dari itu Lyana belajar kecilkan circle. Sebab utama ialah apabila circle kita besar, banyak orang dengki dan suka jatuhkan orang dalam diam serta tidak semua boleh dipercayai.
Bagaimana Lyana jaga kecantikan?
Saya memiliki kulit kering maka pelembab dan produk penjagaan kulit berkualiti sentiasa menjadi pilihan utama. Sebagai pelajar bidang Perhubungan Awam kita perlu tampil yakin dengan wajah dan susuk tubuh.
Tarian pula menjadi aktiviti senaman fizikal saya yang mampu memantapkan kesihatan sekali gus wajah kekal ceria.

Definisi cantik bagi Lyana?
Cantik itu terlalu subjektif, saya lebih suka dikenali kerana berilmu daripada hanya berketrampilan dengan pakaian dan wajah mempesona. Wanita cantik yang bijak pasti lebih dihormati oleh sesiapa sahaja.
Kekejaman Israel, reaksi anda?
Kekejaman terhadap rakyat Palestin di Gaza sewajarnya tidak terus berlaku dan perlu ditamatkan segera kerana ia memang di luar batas kemanusiaan. Saya lihat ramai memboikot produk yang menyokong perjuangan Zionis dan diharap ia berterusan kerana itu yang mampu kita lakukan selain doa.
Kecoh isu tidak pandai siang ikan, Lyana bagaimana?
Tidak kisah pun sebenarnya sebab benda boleh belajar, saya pun awal-awal memang jarang masuk dapur, tetapi sejak jadi penuntut universiti dan berjauhan dengan keluarga, saya belajar satu persatu. Banyak resipi antaranya ayam masak merah, masak lemak cili api dan ayam masak kicap dan kebanyakannya belajar melalui TikTok atau YouTube.
Ciri lelaki pilihan?
Tinggi dari saya (166 sentimeter), berpelajaran tinggi dan mereka yang pentingkan masa depan. Kehidupan hari ini serba-serbi mencabar, oleh itu saya perlu mencari pasangan yang sanggup melayari bahtera hidup dan mencari rezeki bersama- sama.
Azam tahun 2024?
Saya ingin mengenali lebih ramai orang dalam pelbagai bidang. Orang lihat saya macam sombong sedangkan saya mudah mesra dengan siapa sahaja. Don’t judge a book from it’s cover. Sudah kenal baru tahu.














