RUMAH Bumbung Lima atau Rumah Limas itu saling tidak tumpah seperti dilakarnya pada kulit komik Kampung Boy yang diterbitkan pada 1979. Siapa sangka, rumah diinspirasikan daripada memori zaman kanak-kanak pelukis komik itu ketika era 50-an, kini tersergam indah di Jalan Bemban, Batu Gajah, Perak.
Rumah tersebut merupakan ‘karya’ terbaharu kartunis tersohor negara, Datuk Mohammad Nor Mohd. Khalid atau Lat yang dibina untuk lawatan umum.
Menurut seniman berusia 73 tahun itu, rumah tersebut memainkan peranan penting sepanjang perkembangan kariernya.
“Rumah ini merupakan replika kepada rumah asal kelahiran saya dahulu yang terletak di Kampung Lalang, Gopeng. Pada zaman itu, kami minum air perigi. Malam pula diterangi pelita minyak tanah kerana elektrik belum ada.
“Kehidupan di rumah tersebut menjadi inspirasi buat saya berkarya sehingga berjaya membawa nama ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Antara komponen kediaman replika yang diberi nama Rumah Lat itu adalah bahagian anjung, sebuah bilik tidur serta ruang dapur kayu.
Hampir keseluruhan hiasan dalaman rumah tersebut merupakan harta pusaka keluarga yang disumbangkan oleh adik-beradik Lat.
Di dinding rumah itu, tergantung beberapa bingkai yang mengandungi lakaran lukisan ruangan dalam rumah yang dipaparkan dalam siri animasi Kampung Boy.
Ia bagi memudahkan pengunjung untuk membandingkan lakaran yang pernah dilukis di atas kertas putih itu dengan replika dibina.
Komponen paling unik dalam rumah tersebut adalah lubang-lubang kecil di bahagian dapur yang terletak berhampiran dengan dapur kayu dan para pinggan.
Menurut Lat, dia dan adik-beradiknya menggunakan ruang itu untuk mandi, selain digunakan untuk mencuci pinggan.
“Itu dapur dan tempayan air. Masa kecil, kami mandi di situ atau mandi di telaga. Paling bagus mandi di sungai.
“Tandas kami di luar rumah. Untuk ke tandas, kami perlu turun ke bawah menerusi tangga di bahagian dapur,” katanya.
Bersebelahan dengan Rumah Lat adalah Galeri Lat yang menempatkan ruang biografi, pameran komik-komik dan trofi milik Lat serta koleksi lukisan karikaturnya sejak tahun 1963.
Turut dipamerkan adalah koleksi kolaborasi bersama jenama terkenal, kedai cenderahati dan ruangan audio visual.
Kos pembangunan Galeri Rumah Lat menelan belanja RM3.81 juta yang dibiayai oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan siap sepenuhnya pada Januari 2022.
Kerja-kerja pengisian bahan pameran pula disiapkan pada 30 Jun tahun lalu dengan kos bernilai RM700,000 menerusi pembiayaan wang sumbangan MOTAC.
Kerajaan Negeri Perak pula bertanggungjawab menampung keseluruhan kos operasi galeri dari segi fizikal, selenggara dan perjawatan.
Galeri tersebut dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 8 Julai tahun lalu dan dibuka kepada umum sehari kemudian.
Pada majlis tersebut, baginda menganugerahkan Lat gelaran Seniman Diraja sebagai penghargaan tertinggi terhadap sumbangan beliau memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa.

Menganggap gelaran tersebut satu penghormatan, Lat mendedahkan bahawa idea asal penubuhan galeri tersebut hasil ilham baginda.
“Sebenarnya, idea pembinaan galeri ini telah dititah (dicadangkan) Sultan Nazrin ketika baginda masih lagi memegang Raja Muda.
“Walaupun cadangan tersebut adalah secara bersahaja, namun saya mengambil serius dalam merealisasikan perkara tersebut menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak,” katanya.
Tambahnya, Galeri Rumah Lat merupakan antara sumbangan di penghujung usianya kepada negara secara umum dan buat kartunis tanah air, khususnya.
Antara perkara yang masih dalam perancangan adalah penganjuran pameran kartunis tanah air dari pelbagai negeri di satu sudut dalam galeri tersebut.
Ujar Lat, pameran tersebut bakal dilakukan secara bergilir-gilir dan disertai bengkel bersama karyawan terlibat.
“Negara kita memiliki ramai kartunis berbakat seperti Ujang, Rossem dan Sireh yang wajar diketengahkan kepada umum terutama generasi muda.
“Kami juga merancang mengadakan bengkel bersama kartunis-kartunis lain.
“Saya sendiri akan adakan bengkel dari semasa ke semasa pada masa akan datang,” katanya.
Sedikit latar belakang, Lat adalah singkatan kepada ‘Bulat’ yang diberikan oleh bapanya, Khalid Mohd. Noh dan Noor Azian Said.
Beliau merupakan abang kepada sutradara prolifik, Allahyarham Mamat Khalid.
Anak kepada kerani Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) itu mula melukis kartun pada usia 13 tahun menerusi karya pertamanya, siri Tiga Sekawan.
Karya lain yang mengangkat nama Lat ialah Lots of Lat, Lats Lot, Kampung Boy, Mat Som dan Dr. Who?.
Rata-rata karya Lat mengetengahkan pemerhatian yang tajam mengenai kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.
Idea-ideanya dipersembahkan dalam bentuk lelucon yang mengandungi mesej tersirat untuk tatapan pelbagai lapisan masyarakat.
Sepanjang kerjayanya, Lat telah menerima pelbagai anugerah termasuk Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka pada tahun 2002.
Terbaharu, Lat menerima Anugerah Cai Zhizhong Comic Prize di Guangzhou, China.
Harapan Lat, karyanya dapat menjadi rujukan kepada generasi akan datang tentang asal usul mereka sebelum arus globalisasi mempengaruhi gaya hidup masyarakat.
“Karya-karya saya bagaikan cerita datuk dan nenek buat generasi baharu menerusi penekanan unsur-unsur budaya dalam penceritaan.
“Dengan datang ke sini dan melihat karya saya, mereka akan tahu kita merupakan bangsa yang memiliki adat serta adab,” tuturnya.
Ditanya sama ada beliau terbuka untuk menghasilkan Kampung Boy versi tiga dimensi (3D) seperti siri animasi Upin dan Ipin, Lat menganggap usahanya dalam bidang seni sudah cukup.
Ujarnya, kini, tanggungjawab generasi baharu untuk membawa seni negara ke peringkat antarabangsa,” katanya sebelum menutup bicara.















