fbpx
WAN merasa tidak senang dengan permintaan ibu mentuanya untuk melakukan pelbagai kerja rumah. – Gambar hiasan

K2

Suami ‘dikuli’ bak amah oleh ibu mentua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM setiap perhubungan terutama perkahwinan, semua pasangan mahukan kebahagiaan berpanjangan.

Meskipun kadangkala hubungan itu tidak selalunya manis, namun toleransi antara pasangan diperlukan bagi menjernihkan keadaan yang keruh.

Tidak dinafikan, kehadiran orang ketiga dalam rumah tangga yang selama ini harmoni boleh bertukar menjadi sebaliknya.

Jika diimbau kembali apa yang berlaku kepada Wan (bukan nama sebenar) sekitar lima tahun lalu, dia mengakui, serik dan takut untuk berumah tangga lagi.

Menurut anak jati Lenggong, Perak itu, dia selamat bergelar suami kepada seorang wanita yang merupakan satu-satunya anak tunggal dalam keluarga.

“Perkenalan saya dengan Hamila (bukan nama sebenar) tidak lama. Kami berkawan, mengenal hati budi dan tidak lama selepas itu kami bernikah.

“Latar belakang keluarga Hamila juga saya tidak begitu kenal secara mendalam.

“Saya cuma tahu dia ada seorang ibu di kampung dan sudah tiada bapa sejak remaja.

“Begitu juga dengan saya, Hamila tidak berapa mengenali ibu dan bapa mentuanya secara lebih mendalam.

“Dia sekadar bertemu sekali dua sahaja dengan ibu bapa saya sebelum bernikah,” katanya.

Diringkaskan, Wan memberitahu, selepas selamat diijab kabul, mereka sepakat untuk membawa ibu Hamila tinggal bersama memandangkan dia bersendirian di kampung.

Seminggu selepas disatukan, ibu mentuanya datang tinggal di ibu kota tempat di mana Wan dan Hamila mencari rezeki.

“Saya jenis tidak kisah kerana lebih memikirkan keselamatan ibu mentua yang bersendirian di kampung.

“Dia (ibu mentua) walaupun sudah berusia 60 tahun, tetapi kesihatannya masih baik.

“Isteri terlalu risaukannya lebih-lebih lagi selepas bernikah.

“Bagi menghilangkan kerisauan, kami berbincang dan sepakat untuk membawa ibu tinggal bersama untuk sementara waktu,” katanya.

Meneruskan kisah, seperti apa yang Wan katakan, dia tidak begitu mengenali secara mendalam latar belakang ibu mentuanya itu.

Ini kerana, mereka hanya pernah beberapa kali bersua muka.

Ujarnya, pada awal pernikahan, dia merasakan semuanya baik-baik sahaja dan ibu mentuanya juga menerima kehadiran Wan sebagai satu-satunya menantu lelaki secara terbuka.

“Pada awalnya, ibu mentua melayan dan menerima saya dengan begitu baik.

WAN memilih untuk berpisah dengan isterinya. – Gambar hiasan

Tidak ubah seperti dia melayan anak sendiri.

“Bagaimanapun, saya perasan lama-kelamaan, dia mula tunjukkan ‘taring’ di rumah.

“Ibu mentua saya ini jenis yang suka memasak di rumah dan sedikit cerewet. Apa yang saya boleh kongsikan, dia ini jenis suka mengarah-arah dan buat macam rumah sendiri.

“Secara peribadi, saya okey sahaja kalau apa yang diarahkan itu masih masuk akal seperti membeli barang dapur, mengemas atau apa-apa sahaja.

“Namun, semakin lama saya rasakan macam berada dalam penjara di rumah sendiri.

“Saya merasakan dia (ibu mentua) melayan saya bak ‘amah’ sedangkan saya menantunya.

“Paling membuatkan saya tidak tahan dan benar-benar diperlakukan seperti tukang gaji adalah apabila dia mengarahkan saya mengemas bilik tempat tidurnya dan mencuci tandas,” ungkapnya.

Ujar Wan lagi, permintaan yang dianggap pertolongan daripada seorang ibu mentua itu merupakan satu arahan tidak masuk akal dan menjengkelkan.

“Isteri langsung tidak tahu perkara ini. Setiap kali saya diarahkan melakukan sesuatu oleh ibu mentua, dia tiada di rumah kerana bertugas secara syif sebagai jururawat.

“Jadi, saya yang kena menghadap layanan, permintaan, arahan yang kononnya sebagai pertolongan seorang menantu lelaki kepada ibu mentuanya.

“Itu belum bab duit yang dia minta setiap bulan untuk membeli barang keperluannya.

“Saya tidak berkira sangat soal itu, tetapi lama-kelamaan rasa hormat saya semakin hilang dan jadi benci dengannya.

“Beberapa kali juga saya pernah dimaki disebabkan lewat memenuhi arahan dan permintaannya.

“Senang kata, rumah dia menumpang sudah menjadi tempat sendiri,” katanya lagi.

Bertahun memendam rasa dan diperlakukan begitu sepanjang hampir dua tahun, Wan nekad untuk keluar dari ‘neraka’ dunia itu dengan menceraikan isterinya secara baik.

Jelas Wan, dia pernah ingin mengusir ibu mentuanya sebelum ini, namun dia diberikan syarat supaya menceraikan isterinya terlebih dahulu.

“Ibu mentua bagi saya syarat, dia boleh keluar rumah itu, namun saya mesti menceraikan anak perempuannya terlebih dahulu.

“Sehingga ke hari ini, isteri tidak tahu perkara sebenar. Dia cuma tahu saya ada perempuan lain.

“Saya terpaksa menipu kerana tiada cara lain untuk melepaskannya.

“Saya sayangkan hubungan ini dan isteri.

“Bagaimanapun, emosi saya juga terganggu disebabkan perangai ibu wanita yang saya sayang dan cintai itu,” ujar Wan menoktahkan kata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN