fbpx

RM14.3 billion kerugian jenayah komersial bagi tempoh 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli menunjukkan statistik rangkuman jenayah komersial bagi tempoh 2023 selepas sidang akhbar di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 156,029 kes jenayah komersial dicatatkan sepanjang lima tahun lalu bermula 2019 hingga 2023 membabitkan nilai kerugian mencecah RM14.3 bilion.

Selain itu, trend kes jenayah komersial dilihat meningkat saban tahun dengan peningkatan sebanyak 53.2 peratus direkodkan pada 2023 berbanding lima tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, pada 2019, sebanyak 26,330 dicatatkan membabitkan kerugian RM6.2 bilion.

Jelas beliau, jumlah itu diikuti dengan dan kes meningkat pada 2020 dengan 27,323 kes dengan kerugian RM2 bilion, seterusnya pada 2021, sebanyak 31,490 kes direkodkan dengan kerugian RM2.2 bilion.

“Bagi tempoh tahun 2022, jumlah kes terus meningkat kepada 30,536 dengan kerugian RM1.7 bilion dan angka kes terus meningkat pada 2023 dengan 40,350 kes membabitkan kerugian RM2.1 bilion.

“Dari aspek nilai kerugian, sepanjang lima tahun yang lalu, jumlah kerugian yang dicatatkan sudah mencecah RM14.3 bilion membabitkan 156,029 jumlah kes keseluruhan,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai analisis kes dan kerugian pada tahun lalu, Ramli berkata jenayah tipu merangkumi kes tipu dalam talian mendominasi jumlah kes dengan 36,030 daripada keseluruhan 40,350 kes dengan nilai kerugian RM1.6 bilion.

“Kes lain, pecah amanah jenayah dengan 1,215 kes (RM380.3 juta), salah guna harta dengan curang dengan 47 kes (RM2.5 juta), jenayah siber dengan 867 kes (RM35.6 juta), pemalsuan dengan 138 kes (RM6.8 juta), wang palsu dengan 970 kes (RM385,467), ah long dengan 994 kes (RN5.4 juta) dan 89 lain-lain kes dengan kerugian RM803,398 dan nilai keseluruhan kerugian RM2.1 bilion.

“Untuk kes tipu dalam talian, sebanyak 34,497 kes direkodkan membabitkan jumlah kerugian RM1.2 bilion bersamaan 85 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Katanya, sebanyak 11,473 jenayah e-dagang dicatat pada tahun lalu dengan nilai kerugian RM204 juta, diikuti jenayah telekomunikasi (10,348 kes, kerugian RM353 juta), pelaburan tidak wujud (5,386 kes, kerugian RM472.1 juta), pinjaman tidak wujud (4,263 kes, kerugian RM105 juta) dan love scam (935 kes, kerugian RM43.9 juta).

Menurut Ramli, ledakan teknologi dan perkembangan dunia telekomunikasi telah membawa kesan yang signifikan khususnya dalam kewujudan pelbagai modus operandi penipuan baharu.

“Sebagaimana yang dijangka, perkembangan teknologi ini akan memberikan kesan kepada peningkatan kes-kes jenayah komersil.

“Peningkatan jumlah kes ini telah memberikan cabaran yang besar kepada JSJK kerana sepanjang lima tahun kebelakangan ini, jumlah pegawai penyiasat JSJK tetap sama,” katanya.

Tambahnya, jika diukur berdasarkan kekuatan semasa iaitu seramai 839 orang, ratio bagi pegawai penyiasat dan kertas siasatan yang dibuka adalah 1:48.

“Jumlah 48 kertas siasatan bagi satu tahun bukanlah satu angka yang ideal bagi seorang pegawai penyiasat, ini tidak termasuk kes-kes tahun sebelumnya dan penugasan lain yang juga perlu dilaksanakan.

“Justeru, pihak kami sedang berusaha untuk menambah bilangan keanggotaan JSJK dengan lebih intensif pada tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI