fbpx

Koperal polis bebas tuduhan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LANGAT – Seorang anggota polis dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini daripada pertuduhan penyalahgunaan dadah, dua tahun lalu.

Majistret Khairul Farhi Yusob memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Koperal Zamri Husin, 50, di akhir kes pendakwaan.

Khairul dalam penghakimannya menjelaskan kegagalan pihak pendakwaan memanggil pegawai yang bertugas menahan tertuduh sebelum sampel urinnya diambil telah menimbulkan satu keraguan ke atas kes pendakwaan.

“Selain itu, adalah kegagalan Pegawai Sains Hospital Kuala Lumpur untuk menyatakan di dalam laporan makmalnya jenis dadah seperti diperuntukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Justeru, tertuduh dilepaskan serta dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” tegasnya.

Zamri didakwa telah memasukkan dadah berbahaya Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam tubuh badannya di bilik mesyuarat bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat pada pukul 4.11 pagi, 6 Julai 2022.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 38B ADB 1952.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali serta menjalani perintah pengawasan bagi tempoh sehingga tiga tahun,

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Amir Hamdzah telah memanggil tiga saksi sepanjang perbicaraan bermula 27 Februari tahun lalu.

Tertuduh pula diwakili Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI