MADRID – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui keputusan untuk menandatangani kontrak baharu bersama kelab gergasi La Liga itu cukup mudah untuk dilakukan meskipun mendapat tawaran membimbing skuad kebangsaan Brazil sebelum ini.
Sebagai rekod, nama Ancelotti sebelum ini dikaitkan dengan pasukan Selecao sekali gus menjadi jurulatih import pertama negara itu dalam tempoh 60 tahun selepas kontraknya bersama Real berakhir penghujung musim ini.
Namun, pengendali kelahiran Itali itu membuat ‘pusingan U’ apabila bersetuju dengan tawaran kontrak lanjutan yang diberikan oleh Real untuk kekal sehingga penghujung musim 2026 nanti.
“Semua orang tahu saya telah berhubung dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Brazil (Ednaldo Rodrigues) tahun lalu dan saya ucapkan terima kasih kerana menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat saya.
“Namun, saya memilih untuk kekal bersama Real sehingga musim 2026 nanti. Saya harap jodoh kami akan terus berkekalan kerana kalau boleh saya masih mahu membimbing kelab ini sehingga 2028,” kata pengendali berusia 65 tahun itu.
Sementara itu, Ancelotti turut mengesahkan pasukan tidak akan menandatangani mana-mana pemain di posisi pertahanan pada jendela perpindahan kali ini meskipun tonggak utama seperti David Alaba dan Eder Militao mengalami kecederaan panjang.
“Buat masa ini keputusan pihak pengurusan adalah kekal dengan tidak menandatangani mana-mana pemain terutama di bahagian pertahanan. Kita ada beberapa pemain yang boleh beraksi di posisi tersebut seperti Aurelien Tchouameni dan Dani Carvajal,” katanya. – AGENSI














