fbpx

IPD Sibu tubuh pasukan penyiasat kesan suspek kes tembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rakaman CCTV menunjukkan suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa.

SIBU – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menubuhkan pasukan penyiasat bagi mengesan dua suspek yang menembak sekumpulan enam lelaki sehingga menyebabkan tiga orang cedera di sebuah kedai kopi di Lorong 3, Jalan Wong King Huo di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Kami akan melihat dari semua sudut mengenai motif kes ini,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sibu, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkipli mendedahkan dua daripada tiga mangsa yang cedera mempunyai rekod jenayah keganasan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Manakala, katanya tiga lagi rakan mereka (yang tidak tercedera) mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan secara sengaja.

“Maksudnya, seorang (mangsa yang cedera) tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala lima mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurutnya, tiga mangsa berusia dalam lingkungan 27 hingga 33 tahun yang mengalami kecederaan di bahagian paha, kaki dan tangan kini kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini dan dalam keadaan stabil.

Terdahulu, Zulkipli berkata dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira pukul 4.55 petang itu, kesemua enam lelaki terbabit sedang minum di kedai kopi berkenaan sebelum ke gim, apabila didatangi dua lelaki menaiki dua buah motosikal.

“Seorang daripada suspek melepaskan tembakan dari jarak dekat ke arah mangsa manakala seorang lagi turut melepaskan tembakan dari jarak 20 meter sebelum melarikan diri,” katanya.

Katanya pemeriksaan di tempat kejadian turut menemui 10 butir kelongsong peluru dipercayai daripada pistol separa automatik yang digunakan suspek.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Mingat Bakil di talian 0198867978 atau balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI