fbpx

’10 tahun kami tunggu masuk pasar baharu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA peniaga di Pasar Chow Kit memohon DBKL menyelesaikan segera isu perpindahan ke bangunan baharu.

KUALA LUMPUR – Peniaga yang mencari rezeki di Pasar Chow Kit, di sini memohon jaminan atau jangkaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung tarikh mereka boleh berpindah ke lokasi baharu.

Rata-rata mereka ditemui meluahkan rasa ‘penat’ menunggu arahan untuk berpindah selain ternanti-nanti notis daripada pihak berkuasan itu.

Dakwa mereka, sehingga kini tiada sebarang makluman dite­rima daripada DBKL selepas 10 tahun perkara berkenaan diuar-uarkan.

Menurut seorang peniaga dikenali Fadzil Wahab, 60, hampir 10 tahun mereka dijanjikan ruang niaga baharu, namun sehingga kini mereka masih di tapak lama mencari rezeki.

“Tiada sebarang arahan daripada DBKL, kami sudah penat menunggu dan sampai sekarang semuanya senyap.

“Dulu janji bulan November, selepas itu Disember, tetapi ma­suk tahun baharu pun janji masih tinggal janji. Dari zaman sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi mereka berjanji nak selesaikan isu pindah ini.

“Kami harap dengan campur tangan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turun dua hari lepas, isu ini dapat diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Fadzil yang lebih 40 tahun berniaga di pasar berkenaan menambah, pasar baharu itu juga belum siap sepenuhnya dengan jalan masuk belum diturap.

“Saya rasa dua tahun lagi pun belum tentu dapat berpindah,” ujarnya.

PARA peniaga di Pasar Chow Kit masih menunggu untuk dipindahkan ke pasar baharu.

Mengakui isu berkenaan, peniaga ayam dikenali Eddy, 50, berkata, kerja-kerja pembinaan pasar baharu itu masih berjalan dan mungkin atas faktor itu tiada sebarang arahan berpindah dikeluarkan DBKL.

Kosmo! difahamkan hanya beberapa bahagian seperti ruangan daging, sembelihan ayam dan beberapa kawasan peniaga sayur yang akan berpindah ke pasar baharu berkenaan, manakala sebahagiannya masih kekal ditapak lama.

Sementara itu, peniaga ayam lain dikenali Hussin Mohamed, 46, berkata, sebelum membenarkan peniaga berpindah, DBKL perlu menyelesaikan dahulu isu air dan sistem pembetungan di kawasan berkenaan.

Jelasnya, tekanan air di kawasan berkenaan sangat rendah dan ada kalanya ia menyulitkan peniaga.

“Air di sini sangat ‘slow’, kalau macam hari ini (semalam) tidak ramai buka kedai, laju sikit air.

“Tetapi bila ramai berniaga dan gunakan air, maka tekanan air sangat rendah.

“Susahlah sebab macam kami peniaga ayam sangat memerlukan air yang banyak kerana mencuci ayam dan tempat memotong ayam,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI