GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta bagi kerja pemasangan saluran udara dan paip di sebuah tapak pembinaan susulan seorang pekerja warga asing maut terkena renjatan elektrik, kelmarin.
Menurut JKKP Pulau Pinang, notis pemberhentian kerja serta-merta itu dikeluarkan sehingga siasatan berhubung kejadian berlaku selesai dijalankan.
”Mangsa maut terkena renjatan elektrik sewaktu menjalankan kerja kimpalan di sebuah tapak pembinaan dengan menggunakan scissor lift pada pukul 9.45 pagi, 30 Disember lalu.
“Sepasukan pegawai penyiasat JKKP ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat berhubung kemalangan tersebut.
”Siasatan awal mendapati mangsa merupakan pekerja sub-kontraktor yang dilantik untuk menjalankan kerja pemasangan ducting dan piping di tapak pembinaan itu,” katanya hari ini.
Menurutnya, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri oleh rakannya dalam keadaan tergantung atas scissor lift.
“Rakan sekerja mangsa membawa turun lelaki itu dan membawanya keluar dari tapak pembinaan. Mangsa disahkan maut ketika dalam perjalanan ke hospital. Hasil bedah siasat mendapati mangsa terkena renjatan elektrik,” katanya.














