fbpx

Rapid KL lanjut operasi rel, bas sempena ambang tahun baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Perkhidmatan rangkaian rel dan bas Rapid KL akan dilanjutkan waktu operasinya sehingga pukul 1.30 pagi menjelang ambang tahun baharu 2024 pada Ahad ini, bagi memenuhi keperluan warga kota menghadiri sambutan di sekitar pusat bandar.

Rapid KL dalam kenyataannya memaklumkan, lanjutan operasi ini melibatkan 12 stesen rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran masa (MRT) dan Monorel KL, tiga Stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 21 laluan bas Rapid KL dan perantara MRT.

“Stesen-stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT yang dilanjutkan waktu operasi sehingga pukul 1.30 pagi adalah Laluan Kelana Jaya: KLCC, Masjid Jamek serta Laluan Ampang/Sri Petaling: Masjid Jamek, Bandaraya, IOI Puchong Jaya, Maluri.

“Selain itu, Laluan Monorel: Bukit Bintang, Laluan Kajang: Bukit Bintang, TRX, Cochrane, Maluri serta MRT Laluan Putrajaya: TRX dan BRT Laluan Sunway: Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Dalam masa sama, stesen-stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, bagaimanapun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.

“Semua stesen pertukaran rel turun dilanjutkan operasi bagi membolehkan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi akhir,” katanya.

Sementara itu, beberapa laluan bas Rapid KL yang terpilih juga akan melanjutkan waktu perkhidmatan hingga 1.30 pagi.

Sehubungan itu, penumpang disaran menggunakan kad Touch n Go bagi menikmati perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen atau ketika menaiki bas.

“Bagi pengguna token, anda digalakkan untuk membeli token pergi dan balik sebelum keluar dari stesen. Rapid KL akan menambah bilangan anggota dan kakitangan operasi bagi menyokong keperluan operasi dan membantu melancarkan perjalanan anda.

“Bagi keselesaan pengguna, kekerapan tren bagi semua perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel akan ditambah bermula pukul 1 tengah hari pada hari tersebut sehingga tamat waktu operasi,” jelasnya.

Rapid KL menyarankan warga ibu kota menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari tersebut bagi mengelak terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas terutamanya berdekatan kawasan-kawasan yang akan menganjurkan acara sempena tahun baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI