fbpx

Iera Milpan, penyanyi ‘leman’ dalam ciptaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI baharu Iera Milpan mula mencipta fenomena tersendiri menerusi single pertama, Retak Hatiku. – FARIZ RUSADIO

TIDAK kisah dilabel sebagai penyanyi kampung atau ‘leman’, itu prinsip yang dipegang pendatang baharu, Iera Milpan.

Bernaung di bawah syarikat rakaman Rusa Music, wanita berusia 21 tahun itu enggan mempedulikan kata-kata negatif segelintir pihak sebaliknya berbangga dengan pencapaian single pertamanya, Retak Hatiku.

Masakan tidak, video muzik (MV) lagu tersebut sudah mencatat lebih 18 juta jumlah tontonan dalam laman penstriman, YouTube.

Kejayaan tersebut sekali gus membuktikan muzik ‘leman’ yang dihamburkan peminat mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Terkejut

“Saya okey sahaja orang nak gelar penyanyi kampung atau ‘leman’ kerana muzik sebegitu mempunyai kelompok peminat yang sangat besar.

“Jadi, tiada istilah terasa hati dengan kata-kata negatif dan pandangan buruk yang dilemparkan.

“Saya sepatutnya bangga dengan kejayaan yang dikecapi, malah sudah ada peminat sendiri sekarang ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Rentetan daripada populariti yang diraih menerusi single perdana, Iera juga mengakui semakin dikenali ramai.

“Saya terkejut apabila ada yang menegur dan ajak bergambar. Pada awalnya, agak kekok sebab saya seorang introvert tetapi lama-kelamaan sudah terbiasa.

“Namun, paling gembira apabila mereka memuji dan menyukai lagu saya. Perkara itu buatkan saya lupa semua kecaman dan bersemangat untuk terus menyanyi,” ujarnya.

Selain kerjaya sebagai penyanyi, dia juga masih membantu ibunya mengusahakan kedai makan milik ibunya di Johor Bahru.

“Sekarang saya masih lagi tolong mak di kedai makan. Saya akan ‘turun’ ke Kuala Lumpur sekiranya ada undangan nyanyian atau acara hiburan.

Demi keluarga

“Alhamdulillah, kedai makan juga semakin ramai pelanggan yang sedikit sebanyak menambah pendapatan kami sekeluarga,” kongsinya.

Tambah Iera, dia tidak akan sesekali mensia-siakan peluang dan platform yang diraihnya pada hari ini.

“Bukan semua penyanyi baharu dapat lagu yang boleh hits dan saya percaya ini rezeki saya.

“Justeru, saya akan terus menyanyi selagi mendapat permintaan dan tidak malu untuk memperjuangkan irama balada ‘leman’,” katanya lagi.

Berkongsi tentang single keduanya berjudul Kamar Ilhammu, dia berkata, lagu tersebut masih berkonsepkan ‘jiwang’ balada.

Lagu hasil ciptaan bersama Jawa Suki dan M.A.O masih mengekalkan genre rock balada dan kini sudah mencapai 500,000 tontonan dalam YouTube.

“Kamar Ilhammu mengisahkan kisah patah hati dan jiwang juga, sama seperti lagu Retak Hatiku sebelum ini.

“Saya memang suka lagu-lagu seperti era 90-an seperti ini, jadi mudah untuk saya menjiwainya dengan baik,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI