fbpx

Covid-19: Pelancong ke Perak dijangka tidak terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sze Yee (tengah) bercakap pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.

IPOH – Jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2024 dijangka tidak terjejas walaupun terdapat peningkatan kes penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, pengambilan vaksin dalam kalangan ramai termasuk pelancong luar negara mengurangkan kebimbangan mereka untuk datang ke Malaysia khususnya di Perak.

Malah katanya, pemantauan rapi yang diambil Kementerian Kesihatan (KKM) juga diyakini dapat mengawal penularan wabak berkenaan.

“Saya yakin mereka (pelancong) boleh buat kawalan kendiri dengan baik. Lagi pun masing-masing telah melengkapkan pengambilan vaksin, jadi kerisauan itu agak berkurangan.

“Saya percaya, bukan saja rakyat Malaysia tetapi juga antarabangsa yang telah pun mengambil vaksin. Sebab itu, mereka tiada kerisauan untuk melawat ke Malaysia atau ke Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Laman Web ‘Perak GoGoGo’ dan penyampaian hadiah Pertandingan Fotografi Pelancongan 2023 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar Tourism Perak, Zuraida Md. Taib.

Bagi memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024, sebanyak 120 acara dise­naraikan dalam kalendar pelancongan merangkumi aktiviti peringkat daerah, negeri dan antarabangsa yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan.

Mengulas lanjut Sze Yee berkata, kerajaan negeri yakin, semua segmen diatur itu kekal mendapat sambutan pelancong.

“Saya rasa kempen (pelancongan) yang telah dirangka tidak akan terganggu. Kita akan ikut garis panduan yang ditetapkan oleh KKM.

“KKM pun telah melakukan usaha-usaha pencegahan sebaik mungkin sekaligus memantau keadaan semasa penularan wabak tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Laman Web ‘Perak GoGoGo’, beliau memberitahu, laman sesawang yang dibangunkan itu merupakan antara strategi yang dijalankan bagi menarik kedatangan pelancong negara China ke Perak.

Jelas beliau, pendekatan itu selari dengan usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk meluaskan pasaran produk pelancongan ke China.

“Untuk bahasa Melayu (laman web) kita sudah ada banyak pengisian yang tersedia.

“Cuma sekarang kita sedang perkuatkan dalam bahasa Cina ini, bukan sahaja untuk keperluan penduduk domestik, tetapi boleh juga dilawati pelancong luar yang menggunakan bahasa sama seperti negara China,” katanya.

Laman web kolobrasi bersama Media Chinese International Limited Group (MCIL) itu mengandungi tiga video pelancongan yang dirakam di Ipoh sebagai tumpuan utama dan destinasi wajib lain untuk dikunjungi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI