fbpx

K2

Doa buat ibu bapa bukan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG Muslim hanya boleh mendoakan orang kafir diberikan hidayah untuk menerima Islam, bukan untuk diampunkan dosa mereka. – Gambar hiasan

Saya adalah seorang mualaf dan saya musykil dengan ungkapan doa kepada orang tua kita yang berbunyi: “Ya Allah, ampunilah kedua-dua orang tuaku dan kasihanilah mereka seperti mereka mengasihaniku sejak kecil”. Apakah doa ini boleh didoakan oleh saya terhadap ibu bapa yang bukan Muslim? Apakah hukum orang Islam menyebut Rest In Peace (RIP)?

Jawapan: Tidak boleh, bahkan diharamkan bagi seseorang Muslim mendoakan orang kafir dengan doa memohon pengampunan dan seumpamanya walaupun mereka itu adalah ibu bapa sendiri sama ada semasa hidup atau selepas matinya (jika semasa matinya ia masih tetap tidak beriman kepada Allah SWT).

Hal ini berdalilkan kepada firman Allah SWT: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekali pun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.”(Surah al-Taubah:113)

Akan tetapi yang dibolehkan oleh seseorang Muslim adalah mendoakan agar orang kafir tersebut diberikan hidayah untuk menerima Islam, lebih-lebih lagi kepada ibu bapa yang masih belum menerima Islam.

Secara dasarnya, Islam membenarkan ucapan yang baik terhadap orang bukan Islam atas dasar kemanusiaan dan penghormatan terhadap hak mereka dalam melaksanakan agama mereka.
Dua (2) perkara penting dalam isu memberi ucapan kepada orang bukan Islam. Pertama, niat seseorang dalam memberikan ucapan tersebut. Sekiranya sesuatu ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang.

Sementara ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus. Keduanya, latar belakang tradisi istilah yang diucapkan. Sekiranya ia telah menjadi sebahagian daripada amalan keagamaan, maka ia dilarang.

Dalam konteks ucapan Rest in Peace, ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.

Versi penuh ucapan tersebut yang berasal dari bahasa Latin iaitu May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.
Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat dari Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin.

Sedangkan dari sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan. Ini berdasarkan firman Allah SWT;
“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.”(Surah al-Taubah:113)

Oleh yang demikian, seorang Islam amat tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada orang bukan Islam.

Bagaimanapun, Islam tidak menghalang seseorang Muslim mengucapkan simpati terhadap keluarga bukan Islam yang meninggal dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI