SELEPAS bergelar juara program The Masked Singer musim keempat pada Februari lalu, penyanyi terkenal Stacy kembali ke pentas pertandingan menerusi program terbaharu, The Hardest Singing Show.
Bukan ketagih atau gilakan pertandingan, Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam sebaliknya menyifatkan program realiti adalah platform terbaik untuk mengasah lagi bakat dan skilnya sebagai penyanyi.
“Saya masih dalam momentum yang aktif selepas program The Masked Singer, jadi lebih baik diteruskan apabila ditawarkan menyertai program ini.
“Memanglah The Hardest Singing Show sebuah pertandingan tetapi bagi saya itu adalah platform latihan sebagai persediaan membikin konsert sendiri pada masa depan.
“Sebagai penyanyi saya sedar masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Jadi, persembahan mingguan dapat meningkatkan lagi kelebihan yang mungkin tidak ditonjolkan selama ini,” kata Stacy tentang program yang akan bersiaran pada 12 Mei nanti.

Tambah wanita berusia 34 itu, selain mampu relevan dan mendapat peminat baharu, program secara langsung tersebut mungkin akan membuka peluang untuknya mengadakan konsert solo selepas kejayaan konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada tahun lalu.
“Sepanjang 16 tahun saya hanya berpeluang adakan satu konsert sahaja iaitu di DFP. Selain itu, saya hanya aktif di belakang tabir, mencipta dan menerbitkan lagu selain mengadakan persembahan pentas.
“Saya memang kurang buat konsert. Mungkin dengan penyertaan saya dalam program ini akan menyakinkan lagi orang di luar sana untuk anjurkan konsert Stacy.
“Tetapi sebagai penyanyi saya menyimpan impian untuk mengadakan sebuah konsert solo, tetapi sehingga kini masih belum ada rezeki lagi,” tuturnya.
Persediaan
Ditebak apakah persediaan yang sudah dilakukan untuk berentap dengan sembilan orang penyanyi popular tanah air dalam program The Hardest Singing Show, isteri kepada penyanyi Akim Ahmad itu hanya mampu ketawa.
Biarpun tarikh siaran program semakin hampir, kata Stacy dia masih dalam mood raya. Setakat ini, dia hanya sempat melakukan latihan tarian.
“Semasa bujang memang saya mempunyai stamina tetapi ilmu dan pengalaman pula kurang. Saya hanya beri persembahan yang bertenaga.
“Pada usia sekarang selepas bergelar ibu kepada tiga orang anak, stamina memang kurang tetapi ilmu dan pengalaman pula semakin banyak.

“Rasanya sekarang di rumah dengan jaga anak pun saya sudah penat. Jadi tidak perlu untuk buat latihan yang ekstrem bimbang akan terlebih bekerja,” jelas penyanyi lagu Jahat itu.
Tambah Stacy, tekanan kali ini lebih ke arah mencipta kreativiti persembahan selain bersaing dengan diri sendiri.
“Bukan zaman saya untuk rasa tertekan sebab perlu bersaing dengan penyanyi lain tetapi saya perlu berlawan dengan diri sendiri.
“Apa lagi yang belum saya lakukan dan kebolehan yang saya ada? Tekanan lebih kepada kreativiti konsep yang ingin dibawa dalam persembahan nanti,” kata penyanyi asal Penampang, Sabah itu.
Bersemangat untuk kembali ke gelanggang pertandingan, Stacy awalnya tidak mendapat sokongan Akim.
Bukan tidak menyokong isterinya bertanding, sebaliknya kata Stacy, Akim bimbang dia akan mengalami tekanan kerana sudah lama tidak terlibat dalam pertandingan yang memakan masa begitu lama.
“Akim tidak mahu saya tertekan sebab selama ini saya sudah terbiasa dengan kerja di belakang tabir.
“Tetapi akhirnya, dia sendiri yang akur, rugi jika saya tidak sertai dan akhirnya memberi kebenaran serta sokongan.
“Cuma dia berpesan agar saya tidak melepaskan marah kepadanya jika sedang tertekan. Sebagai suami, dia memang tahu perangai saya dan sudah dapat agak situasi yang akan berlaku (ketawa),” katanya.
Bergilir jaga anak
Sejak mendirikan rumah tangga dan bergelar ibu kepada, Bella De Luna Valentina, 12, Eshaal, 7, dan Isa, 2, Stacy sebenarnya semakin kurang aktif dalam dunia seni.
Masanya lebih banyak tertumpu terhadap kerja penerbitan lagu dan tugas sebagai ibu. Tiada paksaan daripada sesiapa termasuk suaminya sendiri, kata Stacy sejak menjadi ibu dia membuat keputusan untuk menjaga sendiri anak-anaknya.
Sedar keputusan tersebut akan memperlahan karier seninya, Stacy sanggup asalkan anak-anaknya membesar di depan mata.
“Dahulu saya pernah ada pembantu rumah, tetapi semuanya asyik lari, jadi sekarang memang tidak ada. Anak-anak pun sudah besar jadi lebih baik saya jaga sendiri.
“Sebelum ini ketika ada pembantu rumah, tugas mereka hanyalah mengemas rumah. Saya dan Akim yang jaga anak.
“Saya ada penyakit ‘overprotective’ dan sukar percayakan orang lain. Jika tinggalkan anak saya tidak boleh fokus dan terlalu berfikir apa yang sedang dilakukan walhal pembantu rumah tidak lakukan apa-apa pun,” kongsi Stacy.
Atas sebab itulah Stacy dan Akim akan bergilir-gilir keluar bekerja. Bagi mereka, tugas menjaga anak adalah tanggungjawab paling utama.
“Jika saya ada kerja, Akim mesti ada di rumah begitulah sebaliknya.
The Hardest Singing Show
“Keluarga juga ada menegur saya yang terlalu melindungi anak-anak, tetapi saya memang tidak boleh melepaskan anak kepada orang lain.
“Saya bersyukur apabila sibuk dengan program terbaharu ini, ibu dan kakak akan bergilir-gilir membantu menjaga anak saya,” ujar Stacy.

Enggan melepaskan peluang keemasan dan waktu yang tepat, Stacy juga merancang muncul dengan single terbaharu selepas program The Hardest Singing Show tamat.
“Sayang pula platform sudah diberikan dan saya juga ada masa kerana anak-anak bawah jagaan keluarga, jadi saya akan terus keluarkan single solo terbaharu tidak lama lagi,” tutur Stacy.
Bercakap tentang The Hardest Singing Show, program berkenaan berkonsepkan pertandingan kompetitif yang buat pertama kalinya mempertaruhkan ‘showmanship’ sebagai kriteria utama penjurian diikuti dengan vokal barisan peserta yang terdiri daripada penyanyi terkenal.
Selain Stacy, barisan peserta yang bakal bersaing selama 10 minggu dalam program tersebut, termasuklah Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Stacy, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza serta kumpulan penyanyi, DeFam yang terdiri daripada Azira Shafinaz, Cik Manggis dan Sophia Liana.
Program nyanyian ini akan dikendalikan oleh pengacara dan penyampai radio popular, Nabil Ahmad bersama pengacara, pelawak serta juga penyanyi terkenal Indonesia, Rina Nose.
Sementara itu, Datuk Rossa , Edry Abdul Halim dan Zizan Razak dipilih sebagai juri tetap program yang akan mula ditayangkan pada 12 Mei, setiap Ahad, pukul 9 malam di Astro Ria (Saluran 104).














