fbpx

K2

Benarkah berkhatan satu bentuk pengubahan ciptaan Allah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Berkhatan bagi lelaki dan wanita sudah menjadi amalan biasa dalam masyarakat Arab. – Gambar hiasan

Amalan khatan dalam kalangan kanak-kanak Muslim merupakan tradisi yang sebenarnya tidak diperintah oleh agama kerana tidak ada di dalam al-Quran. Amalan khatan atau khitan adalah satu bentuk pengubahan terhadap ciptaan Allah SWT, sedangkan al-Quran sendiri di dalam surah al-A’raaf melarang pengubahan terhadap ciptaan Allah. Minta penjelasan.

Jawapan: Perbuatan berkhatan bagi lelaki dan wanita sudah menjadi amalan kebiasaan masyarakat Arab. Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW mengiktirafnya, di samping meletakkan beberapa kaedah.

Allah berfirman di dalam al-Quran: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia daripada orang-orang musyrik.” (Surah al-Nahl:123)

Telah sabit daripada hadis bahawa Nabi Ibrahim melaksanakan khatan seperti mana yang diarahkan oleh Allah. Daripada Abu Hurairah SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no. 3356 dan Imam Muslim, no. 2370 dalam al-Sahihain)

Sabitnya pensyariatan khatan ini juga dikuatkan dengan hadis daripada Humaid bin Bilal, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dan apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan wanita, ertinya jimak) maka wajiblah mandi.” (Hadis riwayat Imam Muslim dalam al-Sahih, no. 349)

Dalam mazhab Syafii, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib mengikut pendapat masyhur dan seperti mana yang diputuskan oleh Imam al-Syafie.

Imam al-Rafie daripada Syafieyyah ada menyebutkan suatu wajah (pendapat) dalam mazhab Syafii bahawa hukum sunat ke atas wanita, tetap pendapat ini dianggap syadz.

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: “Berkhatan itu disyariatkan dan tidak ada pendapat yang boleh menidakkan perkara ini sama ada bagi lelaki mahupun wanita. Yang penting ia disempurnakan oleh doktor yang dipercayai. Jika seorang wanita tidak melakukan khatan, tidak ada dosa ke atasnya kerana itu merupakan haknya dan satu bentuk penghormatan atas qaul yang rajih dan ia bukanlah wajib dan tidak perlulah kamu mewajibkannya.” [http://www.umatia.org/ftawa12.html]

Kami mentarjihkan pendapat bahawa wajib hukumnya berkhatan bagi lelaki dan perempuan.

Ada pun bahagian yang wajib untuk dibuang ketika berkhatan ialah:
Bagi lelaki, bahagian kulit yang menutupi hasyafah (kepala zakar).
Bagi perempuan, bahagian kulit di atas saluran kencing (klitoris) seperti balung ayam jantan.
Bagi perempuan, disunatkan agar dinipiskan atau dikemaskan sahaja, dan jangan melampau-lampau dalam memotong seperti amalan female genital mutilation sehingga merosakkan dan mencacatkan klitoris.
Bahkan, perbuatan seperti itu diharamkan dalam Islam.

Ini berdalilkan hadis daripada Ummu Atiyyah al-Ansariyyah bahawa pelaksanaan khatan berlaku dalam kalangan kaum perempuan di Madinah, lalu Rasulullah SAW berpesan kepada beliau: “Janganlah engkau potong semuanya, kerana itu menguntungkan bagi wanita dan disukai oleh suami.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dalam Sunan, no. 5271)

Begitulah cara mengkhatan lelaki dan wanita yang betul. Hendaklah dalam urusan ini kita bersikap adil, tidak cenderung kepada masyarakat yang menzalimi wanita dan tabiatnya dan tidak pula cenderung kepada mereka yang memperlekehkan syariat Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI