HATYAI, Thailand – Ramai rakyat Malaysia yang bercuti panjang di destinasi menarik di Thailand terutama di wilayah Songkhla, Satun dan Krabi bermula dari sambutan Krismas hingga sambutan tahun baharu, hujung bulan ini.
Menurut seorang pelancong, Ruzamani Ahmad, 42, dia memilih untuk bercuti di bandar Hatyai di wilayah Songkhla, di sini bersama ahli keluarganya.
“Ini kali pertama saya bercuti bersama isteri dan tiga anak selepas mendengar mengenai tempat-tempat menarik di sini. Alhamdulillah, proses kemasukan ke sini juga sebenarnya tidak sukar seperti dijangka.
“Saya memilih untuk bercuti di Thailand sempena cuti Krismas dan selepas ini akan ke wilayah Krabi pula,” katanya ketika ditemui di pusat bandar Hatyai di sini kelmarin.
Katanya yang berasal dari Pulau Pinang, dia sekeluarga teruja melancong ke negara Gajah Putih itu kerana mahu merasai suasana di negara orang.
“Kami juga tertarik dengan pelbagai jenis makanan dan juga perkhidmatan disediakan seperti layanan kepada pelancong yang baik daripada pengusaha pelancongan di sini,” ujarnya.
Seorang lagi pelancong, Mohd. Aiman Fitree Aziz, 23, berkata, dia bersama beberapa rakannya dari sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ingin menghabiskan cuti mereka selama hampir seminggu di negara Gajah Putih itu.
“Saya bersama rakan-rakan ingin melihat bagaimana sambutan Krismas dan tahun baharu di negara ini, mungkin ia berbeza dengan negara kita, itu yang saya ingin tahu.
“Kami bersama beberapa rakan lain datang dengan mengambil pakej pelancongan online yang banyak boleh didapati di laman-laman sosial seperti Facebook dan TikTok,” jelasnya.
Katanya, walaupun nilai mata wang Thailand semakin naik, namun mereka merasakan ia masih murah dan berpadanan dengan layanan serta hospitaliti ditawarkan.
Sementara itu, tinjauan di pintu masuk antarabangsa Malaysia-Thailand di Padang Besar kelmarin mendapati aliran trafik tinggi dari sebelah pagi hingga malam berikutan pergerakan keluar masuk pelancong.














