fbpx

25,849 mangsa banjir, tiga kematian direkodkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Terdapat 19 daerah di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Sabah dilanda banjir melibatkan seramai 25,849 mangsa, setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan media berkata, jumlah mangsa meningkat kepada 498 mangsa hanya dalam tempoh 24 jam berbanding 25,351, semalam.

“la melibatkan 7,983 keluarga yang ditempatkan di 185 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Tiga daerah paling teruk terjejas adalah Pasir Mas (13,844 mangsa), Hulu Terengganu (2,846 mangsa) dan Dungun (2,829 mangsa).

“Terdapat tiga kematian akibat banjir yang melibatkan seorang kanak-kanak lelaki di Kota Bharu pada 26 November 2023, seorang kanak-kanak perempuan di Pasir Mas (24 Disember 2023 ) dan seorang kanak-kanak perempuan di Pasir Mas (26 Disember 2023) direkodkan setakat ini,” kata kenyataan itu, hari ini.

Nadma berkata, sehingga pukul 4 petang tadi terdapat sebanyak 14 sungai mencatatkan kenaikan aras air melebihi tahap bahaya di negeri terbabit.

Menurut Nadma, anggaran bilangan rumah yang masih terkesan dengan banjir hari ini adalah sebanyak 7,983 buah rumah.

Tambah Nadma, berdasarkan rekod kawasan hotspot dan cerun kritikal Jabatan Mineral dan Geosains, terdapat kawasan berisiko mengalami tanah runtuh di kawasan yang sedang dilanda banjir.

“Kawasan terbabit adalah di Jeli (Lebuhraya Timur – Barat), Tanah Merah dan Gua Musang (Jalan Lojing Gua Musang). Sehingga 26 Disember 2023, terdapat sembilan kejadian tanah runtuh di seluruh Malaysia direkodkan iaitu empat di Pahang, empat di Selangor dan satu di Sarawak .

“Berdasarkan laporan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) sehingga 27 Disember 2023, pukul 10 pagi, 33 sekolah rendah dan enam sekolah menengah di seluruh Malaysia terlibat dengan banjir.

“Terdapat 93 institusi pendidikan masih dijadikan PPS yang melibatkan 74 sekolah rendah, 18 sekolah menengah dan satu kolej vokasional di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak,” kata Nadma.

Nadma seterusnya memaklumkan, tiga stesen meteorologi utama yang mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi semalam adalah Mersing, Johor (197.0mm), Kudat, Sabah (97.4 mm) dan Sandakan, Sabah (83.4 mm)

Jelas Nadma, berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di pantai timur dan selatan Semenanjung sehingga 28 Disember 2023.

“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.

“Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.

“MetMalaysia telah mengemas kini amaran hujan berterusan (waspada) yang melibatkan negeri Pahang dan Johor serta amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa sehingga 28 Disember 2023,” kata kenyataan itu lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI