SHAH ALAM – Kira-kira 2,000 bekas penagih yang menjalani rawatan di bawah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Selangor telah ‘digraduasi’ daripada penyalahgunaan dadah.
Menurut Pengarah Pengasih Selangor, Jaafar Daud, kesemua yang digraduasi itu setelah diyakini bebas daripada dadah dalam tempoh tiga tahun dengan melalui rawatan intensif termasuk pemulihan dalam komuniti (PDK).
Katanya, tahap pemulihan dadah adalah bergantung kepada jenis bahan terlarang diambil mereka susulan dadah ketika ini lebih bersifat sintetik dengan mengandungi bahan kimia seperti syabu yang boleh merosakkan otak dan mental mereka.
“Kita mempunyai rawatan selama setahun dan bekerjasama dengan pakar psikiatri untuk rawatan mental khususnya bagi penagih syabu dan pil kuda yang membuatkan penggunanya berhalusinasi.
“Rawatan psikiatri mungkin panjang selain perlu bergantung kepada ubat dalam tempoh tertentu atau sepanjang hayat. Ada penghuni terpaksa memakan ubat jenis risperidone, mirtazapine, artene, olanzapine, aripiprazole, luvox dan abilify maintena untuk keperluan kesihatan mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kata Jaafar, mereka yang diubati adalah seawal usia 20-an dengan pihaknya menerapkan kepada aspek psikologi sosial melibatkan kelakuan, persekitaran dan pengendalian emosi.
Tambah beliau, Pengasih juga telah mewujudkan pendidikan keluarga berkaitan masalah penagihan ini berikutan ibu bapa bekas penagih juga antara golongan terkesan susulan permasalahan tersebut.
“Ramai ibu bapa penagih adalah ‘pesakit senyap’ kerana mereka malu selain berada dalam ketakutan dicaci masyarakat lain dan tidak mempunyai rakan untuk diluahkan masalah tersebut.
“Platform ini amat baik terutama bagi memberikan maklumat dan melegakan ibu bapa dalam meluahkan segala isu atau pemasalahan dihadapi mereka dan ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Merbau Sempak, Anuar Abd. Rahman berkata, stigmatisasi sosial dengan melabel bekas penagih seperti ‘penjenayah kejam’ tidak wujud dalam kalangan penduduk kampung tersebut.
Anuar berkata, mereka berlapang dada apabila menerima kira-kira 15 bekas penagih yang sedang menjalani pemulihan hidup dalam komuniti sebagai proses berhijrah daripada najis dadah.
Jelasnya, penduduk tidak mempunyai masalah kerana berpegang kepada konsep hijrah sebagai keperluan dilakukan semua manusia termasuk bekas penagih.
“Saya menganggap lokaliti kampung ini terpilih supaya kumpulan bekas penagih itu tidak tersisih seterusnya mempercepatkan proses pengembalian kepada masyarakat.
“Mereka datang untuk berubah dan kami amat alu-alukan. Hubungan anak Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Selangor dengan penduduk pun tiada masalah.
“Pelbagai program dianjurkan termasuk gotong royong, sukan rakyat dan ibadah korban. Kami tidak kisah kampung ini dilabel ‘kampung penagih’ dan saya sendiri tiada masalah mengenainya kerana tujuan utama agar mereka dapat berhijrah ke arah lebih baik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Anuar, pihaknya tidak mahu mengamalkan konsep terus ‘memenjarakan’ bekas penagih dengan kehidupan lalu kerana penagihan dadah.
“Kita perlu bantu supaya mereka rasa diterima semula seterusnya dapat mengubah stigma terhadap penagih dalam usaha menggalakkan mereka tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan bantuan profesional.
“Ada segelintir terjebak kerana putus cinta. Mulanya mereka ke sini sebagai penghuni Pengasih kemudian berkeluarga hingga ada yang menjadi siak surau di sekitar kawasan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














