fbpx
SALAH seorang jurufisio membantu pesakit mendapatkan rawatan di Pusat Fisioterapi MAIWP, MAU, Setapak, Kuala Lumpur.

Pusat fisioterapi khusus buat asnaf, B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 21 Januari 2023 meninggalkan titik hitam dalam kehidupan Hanif Mannokaran Abdullah, 70, selepas dia terlibat dalam satu kemalangan motosikal.

Impak daripada kemalangan itu, dia yang merupakan golongan asnaf dan penerima bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengalami masalah kesukaran untuk berjalan, walaupun sudah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selama hampir dua minggu.

Malah, selepas menjalani dua kali pembedahan, keadaannya masih tidak banyak berubah apabila kesakitan pada bahagian pinggang dan kaki belum berkurangan.

“Saya memang kerap datang ke Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah (MAU) di Setapak (Kuala Lumpur) dan disebabkan kemalangan tersebut, saya perlu solat menggunakan kerusi.

“Melihat kepada kesukaran dialami, saya dipelawa oleh pihak jawatankuasa masjid untuk menjalani rawatan di Pusat Fisioterapi MAIWP yang terletak di pekarangan MAU.

“Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan di sini sejak April lalu, keadaan saya sudah semakin pulih.

“Malah, sekarang ini saya sudah boleh solat tanpa menggunakan kerusi.

“Kesakitan pada bahagian pinggang dan kaki juga hampir pulih sepenuhnya,” katanya yang tinggal di Desa Rejang, Setapak.

Kewujudan Pusat Fisioterapi MAIWP itu turut dimanfaatkan oleh seorang asnaf, Suraya Idris, 55, yang tinggal di Taman Setapak Jaya, tidak jauh dari MAU.

Dia yang mengalami masalah sakit pada bahagian tulang belakang dan kaki selepas terjatuh motosikal pada September lalu turut menjalani rawatan fisioterapi di pusat berkenaan.

Ia bagi memulihkan kembali tahap kesihatannya.

“Saya jalani fisioterapi di sini bermula 23 Oktober lalu dan setakat ini sudah menjalani tujuh kali sesi rawatan.

“Alhamdulillah, tahap kesakitan sudah berkurangan dan saya berharap selepas tamat semua sesi rawatan, keadaan saya akan bertambah baik,” ujarnya.

Pusat Fisioterapi MAIWP di MAU merupakan sebuah pusat rawatan fisioterapi yang ditubuhkan oleh MAIWP.

Ia ditubuhkan dengan kerjasama Pertubuhan Kumpulan Sokongan Komuniti Sejahtera (K2S) yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengoperasiannya turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan MAU memandangkan kedudukannya yang terletak di pekarangan masjid berkenaan.

Menurut Pegawai Operasi dan Perhubungan Pusat Fisioterapi MAIWP, Aliaa Tuan Rozaimon, pusat rawatan berkenaan telah memulakan operasinya pada 17 Oktober 2022.

Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar pada 28 Mac lalu.

MOHD. DAUD (kiri) menandatangani papan plak ketika merasmikan Pusat Fisioterapi MAIWP sambil disaksikan Noorazman.

Sehingga kini jelasnya, seramai kira-kira 100 orang asnaf yang berdaftar dengan MAIWP telah mendapat manfaat daripada kewujudan pusat fisioterapi tersebut.

Pada masa sama, kira-kira 200 penerima rawatan lain turut menjalani rawatan di situ termasuk orang awam.

Dalam pada itu, Presiden K2S, Datuk Noorazman Idris memberitahu, pertubuhan itu telah menerima peruntukan sebanyak RM620,000 daripada MAIWP.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM300,000 diperuntukan bagi menampung perbelanjaan membina prasarana pusat fisioterapi berkenaan.

Sementara RM320,000 lagi digunakan bagi membiayai keperluan asnaf yang menjalankan rawatan di situ.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi MAU berkata, pusat rawatan berkonsepkan kabin itu mempunyai empat bilik yang dilengkapi dengan beberapa peralatan khas dan mesin rawatan terkini.

Bilik rawatan bagi lelaki dan wanita juga diasingkan bagi memastikan sesi rawatan dilaksanakan dengan mematuhi hukum Islam.

Bagi rawatan pula, seramai dua orang petugas fisioterapi berpengalaman dan memiliki diploma dalam bidang tersebut turut ditempatkan di pusat berkenaan.

Mereka bertanggungjawab mengendalikan setiap sesi rawatan.

Jelasnya lagi, kewujudan Pusat Fisioterapi MAIWP sangat bertepatan dengan falsafah penubuhan K2S untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti merangkumi kesihatan mental dan fizikal.

Malah katanya, operasi pusat rawatan berkenaan juga dijalankan dengan berorientasikan perkhidmatan kepada komuniti dan tidak berasaskan keuntungan.

“Selain pelbagai aktiviti komuniti yang telah dilaksanakan oleh pihak MAU dan K2S, pusat fisioterapi ini merupakan satu lagi nilai tambah bagi membantu masyarakat meningkatkan tahap kesihatan mereka.

“Malah, kita menyasarkan untuk memberi perkhidmatan rawatan percuma sehingga 10 kali sesi rawatan kepada kira-kira 400 orang golongan asnaf yang berdaftar dengan MAIWP.

“Selain itu, pusat rawatan ini menawarkan rawatan kepada orang awam yang bukan penerima bantuan MAIWP dengan kadar bayaran RM80 bagi satu sesi rawatan selama sejam.

“Caj ini merupakan kadar promosi istimewa yang dikenakan kepada pelanggan berbanding bayaran asal RM160,” ujarnya.

Tambah Noorazman, bagi meningkatkan tahap capaian kepada lebih ramai kumpulan komuniti khususnya asnaf dan B40 mengenai kewujudan pusat tawaran itu, pihaknya turut menjalankan pelbagai inisiatif.

Ia termasuklah menguar-uarkan perkhidmatan Pusat Fisioterapi MAIWP menerusi platform Facebook dan TikTok.

Selain itu, mereka turut melibatkan diri dalam pelbagai pameran kesihatan sama ada yang dilaksanakan oleh pihak masjid di sekitar Kuala Lumpur atau pihak lain.

“Tujuan kami adalah untuk memastikan seramai mungkin golongan asnaf di Kuala Lumpur mendapatkan rawatan fisioterapi di sini yang ditawarkan secara percuma kepada mereka.

“Ia secara tidak langsung menjadi satu medium untuk mendekatkan lebih ramai anggota masyarakat dengan masjid yang merupakan pusat kepada pelbagai aktiviti komuniti setempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN