fbpx

‘Little Dhaka’ bagai dilanggar garuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITUASI lengang ‘Little Dhaka’ di Jalan Silang, Kuala Lumpur semalam, sehari selepas diserbu Pasukan Gerakan Am (PGA).

KUALA LUMPUR – “Lengang bagai dilanggar garuda.”

Demikian gambaran suasana di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin atau Jalan Silang yang diberi jolokan ‘Little Dhaka’ lengang sehari selepas operasi bersepadu dan serbuan besar-besaran membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) kelmarin.

Tinjauan Kosmo! di sekitar kawasan itu termasuk di Pasar Seni dan Jalan Petaling mendapati, perniagaan-perniagaan di kawasan berkenaan seperti kedai makan, kedai pakaian, kedai karpet dan manisan masih berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, hasil operasi khas yang dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberkas lebih 1,000 PATI di situ, kelibat warga asing berjalan-jalan di sekitar kawasan berkenaan bagi membeli barangan ataupun makanan dilihat tidak begitu meriah seperti selalu.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Rohayati, 45, berkata, keadaan semalam sedikit berbeza berbanding kelmarin dan sebelum ini apabila lebih ramai lagi warga asing dilihat berada di kawasan tersebut melakukan aktiviti harian mereka.

“Sebelum ini memang lagi ramai, lepas sahaja operasi itu agak sunyi sikit. Mungkin ada yang takut hendak ke sini ataupun dah ramai sangat yang ditangkap semalam.

“Memang ini kawasan mereka. Kita peniaga di kawasan ini dah biasa lihat ramai warga asing, kalau hujung minggu lagi ramai berjalan-jalan sempena hari cuti. Tidak tahu hujung minggu ini bagaimana,” katanya kepada ketika ditemui di sini semalam.

SEBAHAGIAN pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam operasi khas di ‘Little Dhaka’, Jalan Silang di Kuala Lumpur kelmarin.

Rohayati berkata, lambakan warga asing di sekitar kawasan itu sudah menjadi kebiasaan sejak dia mula berniaga tiga tahun lalu di situ.

Katanya, walaupun sudah biasa dengan keadaan itu, kehadiran warga asing yang terlalu ramai adakalanya menimbulkan masalah seperti gejala membuang sampah merata-rata ataupun mabuk.

“Memanglah rakyat Malaysia pun ada yang buang sampah merata-rata, tetapi ada dalam kalangan mereka ini yang tak kisah mahu buang sampah walaupun kawasan itu baru sahaja dibersihkan oleh pekerja pembersihan.

“Bukan itu sahaja, masalah lain seperti meludah merata-rata juga biasa dilihat berlaku di sini. Biasanya yang meludah ini jadi isu kerana mereka mengunyah sirih, jadi akan nampak air ludah berwarna merah di atas jalan,” katanya.

Keadaan sama turut diakui oleh seorang peniaga dikenali sebagai Kadir, 43, yang mengatakan tindakan segelintir warga asing meludah sirih di merata tempat menimbulkan rasa kurang selesa pengunjung lain.

“Bila mereka ludah sirih itu, sudah tentu berwarna dan warna itu akan melekat di atas jalan. Mungkin mereka dah terbiasa begitu dan budaya itu dibawa ke sini.

“Ada juga warga asing yang mabuk, tetapi tidak bertindak di luar kawalan seperti bergaduh ataupun mengacau ketenteraman orang awam,” katanya.

PASUKAN Gerakan Am (PGA) menggempur lokasi diberi jolokan ‘Little Dhaka’ di Jalan Silang, Kuala Lumpur kelmarin.

Sementara itu, seorang lagi peniaga dikenali sebagai Faiz, 26, pula tidak menafikan keba­nyakan pelanggan yang membeli minuman di gerainya adalah dalam kalangan warga asing di situ.

Katanya, operasi besar-besaran yang dilakukan PDRM baru-baru ini pertama kali dilihat sepanjang lapan tahun berniaga di situ.

“Operasi tangkap warga asing kerap juga dibuat tetapi besar-besaran seperti semalam (kelmarin) memang pertama kali saya nampak. Terkejut juga tiba-tiba ramai polis datang naik lori.

“Kehadiran warga asing di sini tidak menimbulkan masalah yang begitu ketara bagi saya, pelanggan saya juga ramai daripada kalangan mereka. Kalau ada masalah pun, tidak begitu serius,” ujarnya.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan, seramai 1,101 PATI ditahan dalam Ops Khas Jabatan Kese­lamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Jalan Silang atau diberi jolokan ‘Little Dhaka’.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, operasi berkenaan bertujuan membanteras pelbagai jenayah dan aktiviti tidak sihat dalam kalangan PATI di kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI