fbpx

Konflik Palestin-Israel: Ancaman kebuluran di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK Palestin memeriksa serpihan selepas serangan udara Israel di Rafah, Semenanjung Gaza. - GAMBAR HIASAN

GAZA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) menganggarkan seramai 1.9 juta penduduk Palestin di Semenanjung Gaza kini hilang tempat tinggal dan menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Wilayah berkenaan dianggarkan mempunyai kira-kira 2.4 juta penduduk.

Dengan rumah mereka musnah, kebanyakan penduduk Gaza tinggal di tempat perlindungan yang sesak dan bergelut untuk mencari makanan, bahan api, air dan bekalan perubatan. Wabak penyakit kini merebak, manakala komunikasi berulang kali diputuskan oleh Israel.

Penduduk Gaza yang berpindah kini merayu pelaksanaan gencatan senjata.

“Mesej saya adalah untuk menamatkan penghinaan ini,” kata Fuad Ibrahim Wadi, yang mencari perlindungan di sebuah rumah hijau di Rafah.

“Perang ini tidak menghasilkan apa-apa melainkan kemusnahan. Cukup-cukuplah,” tambahnya.

Perang bermula pada 7 Oktober lalu selepas pejuang Hamas menyerang Israel dan membunuh kira-kira 1,140 orang, kebanyakan mereka ialah orang awam, demikian menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel. Hamas juga menculik kira-kira 250 tebusan.

Bersumpah untuk memusnahkan Hamas, Israel memulakan kempen pengeboman tanpa henti ke atas Gaza, di samping pencerobohan darat.

Kumpulan Hamas pada Rabu lepas berkata, lebih 20,000 rak­yat Palestin, kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam perang tersebut.

Dalam perkembangan sama, ketua kemanusiaan PBB, Martin Griffiths mengeluarkan amaran di laman X kelmarin bahawa seluruh penduduk Gaza berdepan ‘risiko kebuluran yang hampir pasti’.

“Kami telah memberi amaran selama berminggu-minggu bahawa ketiadaan bekalan dan kemusnahan yang berlaku setiap hari hanya akan membawa lebih banyak kelaparan, penyakit dan keputusasaan kepada penduduk Gaza,” katanya.

Dalam pada itu, Israel meluluskan pembukaan semula sementara lintasan sempadan Kerem Shalom semalam untuk membolehkan penghantaran bantuan terus ke Semenanjung Gaza dan bukannya melalui lintasan Rafah dari Mesir.

Kelmarin, Israel menyerang kawasan sebelah Palestin di Kerem Shalom, kata pihak berkuasa lintasan dan kementerian kesihatan Hamas.

Pegawai Israel tidak segera menjawab permintaan daripada AFP untuk mendapatkan komen.

Stephane Dujarric selaku jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB berkata, agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) tidak dapat menerima bantuan trak yang melalui Kerem Shalom berikutan serangan dron Israel.

Sehubungan itu, Program Makanan Dunia telah menggantung operasinya di lintasan Kerem Shalon.

Komen Dujarric dibuat selepas Presiden Israel, Isaac Herzog berkata, Israel boleh membenarkan kemasukan sehingga 400 lori bantuan sehari dan me­nyalahkan PBB kerana gagal membawa lebih banyak lori memasuki lintasan sempadan itu.

Menurut PBB, jumlah trak bantuan yang memasuki Gaza jauh di bawah purata harian sebelum perang.

Dalam satu lagi perkembangan, pejabat hak asasi manusia PBB di Ramallah berkata, pihak­nya menerima laporan bahawa tentera Israel telah membunuh 11 lelaki Palestin yang tidak bersenjata di kejiranan Rimal, Bandar Gaza pada minggu ini.

Semua lelaki itu dibunuh di hadapan ahli keluarga mereka, katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI