fbpx

Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis minta bantuan Interpol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zayn Rayyan.

GOMBAK – Polis meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dalam pencarian bukti kes pembunuhan kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang kini memasuki Fasa ke-3.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tindakan itu diambil susulan terdapat beberapa maklumat yang diperoleh pihaknya untuk disemak dalam pangkalan data Interpol.

“Ada beberapa maklumat yang diperoleh, walaupun bukan konklusif tetapi ia boleh membantu siasatan kita.

“Kita masih meneruskan siasatan yang mana fasa kali ini tertumpu rumah ke rumah di blok tertentu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Menurutnya, tiada petunjuk baharu ditemui setakat ini dan ia merupakan cabaran besar buat pihaknya susulan kes pembunuhan ini disifatkan bukannya ‘straight forward’.

“Bagi kes melibatkan ‘secondary crime scene’ (lokasi jenayah kedua), kebiasaannya kurang dapat keterangan fizikal untuk kaitkan dengan penjenayah.

“Jadi, ini bukan satu kes ‘straight forward’, bagaimanapun kita melakukan ‘house-to-house searching’ untuk mencari bukti,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebanyak 255 keterangan dari pelbagai pihak dirakam, manakala sebanyak 248 sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diambil.

“Sebanyak 246 sampel DNA dianalisis dan lain-lain keputusan. Namun, tiada keputusan positif boleh membantu siasatan ketika ini.

“Kita (polis) tidak berputus asa malah masih meneruskan aktiviti pencarian bukti hampir setiap hari di kawasan penemuan mayat mangsa dan lain-lain kawasan.

“Kita percaya suspek akan dijumpai walaupun bukannya sekarang,”ujarnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam), pihaknya hanya mendapat maklumat minimum daripada sumber berkenaan.

“Keadaan kes ini menyukarkan polis untuk mengetahui ‘primary crime scene’ sekiranya ada pihak yang mempunyai maklumat, mohon tampil buat laporan.

“Dashcam dan CCTV telah dianalisis, kita hanya dapat maklumat minimum yang boleh bantu siasatan.

“Kita bersungguh-sungguh dalam siasatan ini, namun ketika ini, polis masih mencari petunjuk positif,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI