fbpx

Hampir ‘tarik’ nyawa akibat desakan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WANITA cekal itu turut meraih anugerah pada Nona Superwomen.

PERNAH bergelut dengan masalah kewangan hingga terdetik mahu menamatkan riwayat suatu ketika dahulu antara perkara yang tidak akan pernah dilupakan wanita ini.

Bagi Siti Mariam Abdul Samad, sebelum keluar dari kepompong kesusahan, dia sebelumnya pernah makan gaji berkhidmat sebagai jururawat.

Pun begitu, waktu yang ligat berputar menyaksikan dirinya bergelut dengan masalah kewangan yang begitu sukar dirungkaikan.

“Masih diingati, pada tahun 2017 iaitu ketika saya berusia 24 tahun, lambakan hutang saya mencecah lebih RM100,000.

“Saya panik dan akhirnya terpaksa menebalkan muka dengan meminjam duit dengan ibu bapa dan adik-beradik.

“Ujian yang datang bertimpa-timpa membuatkan saya pernah berfikir untuk menarik nyawa sendiri.

“Namun, benak saya memberitahu, kalau mati pun tak akan selesaikan masalah. Tak guna berbuat demikian, dan buat tambah dosa sahaja,” katanya kepada Aura.

Berkongsi lanjut, entah dari mana semangat dan kekuatan diperolehinya, dia memberanikan diri berniaga secara kecil-kecilan menggunakan produk rambut daripada sebuah jenama.

Katanya, pada peringkat permulaan, dia begitu jatuh cinta dengan set penjagaan rambut tersebut kerana begitu sesuai dan serasi dengan dirinya.

“Pun begitu, bisnes tersebut tidak tahan lama sebab selalu sahaja berdepan isu stok. Bila ramai membeli, tapi stok pula terhad, ia akan menyebabkan pelanggan hilang kepercayaan.

“Sejak saat itu, saya terfikir mengapa tidak keluarkan produk dengan label sendiri,” katanya lagi.

SITI MARIAM kini terus mengorak langkah dalam bidang perniagaan.

Kesungguhan yang sudah tertanam dalam diri akhirnya mendorong dia memulakan bisnes dengan mengeluarkan 2,000 botol produk rambut secara permulaan.

Dari semasa ke semasa, tempahan sudah melebihi 100,000 unit sekali gus menunjukkan jenama Faith Fleur yang dirintis anak tempatan diterima ramai.

Ditanya siapa sumber inspirasi dan kekuatannya, graduan Diploma Kejururawatan di Universiti Segi Kuala Lumpur itu menyifatkan kedua-dua orang tuanya menjadi tonggak terpenting kejayaan dikecapi.

Selepas lebih setengah dekad berhempas pulas, Siti Mariam berkata, inilah masanya untuk dia kembali berbakti kepada kedua-dua ibu bapa sendiri termasuk mentua.

Ditanya mengenai cabaran sepanjang mengasas dan mengekalkan perniagaan, ada satu perkara yang mengejutkan dan paling menarik dikongsikan.

Akui wanita berusia 31 tahun itu, dia pernah membuat pinjaman dengan sebuah syarikat along untuk kelangsungan syarikat dan menyesali perbuatan ‘kurang bijak’ itu.

Ia memberi banyak pengajaran kepada dirinya tentang betapa berhutang itu sesuatu yang tidak wajar dilakukan.

“Sebenarnya ketika itu bayaran kereta kami tertunggak dan pihak bank sudah menghubungi saya untuk menariknya.

“Saya buntu dan terus meminjam duit daripada abang. Namun, dia beri syarat supaya bayar segera.

“Tiba-tiba saya terbaca satu iklan pinjaman wang berlesen. Tanpa berfikir panjang, saya dan suami mendapatkan perkhidmatan itu dan pinjaman lulus dengan begitu cepat.

“Nak bayar bulan pertama memang lepas, tapi untuk bulan seterusnya tersangkut-sangkut dan azab juga,” jelasnya yang bersyukur kerana along tersebut bukanlah seorang yang agresif, namun mengakui tertekan apabila terus menerus diasak masalah hutang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI