fbpx

83 serpihan tulang ditemui dalam parit belum dikenal pasti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja pencarian rangka manusia yang ditemukan di dalam sebuah parit di kawasan perumahan Jalan Bukit Assek, Sibu.

SIBU – Identiti serpihan tulang manusia yang ditemui dalam sebuah parit di kawasan perumahan Jalan Bukit Assek di sini masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata ujian DNA perlu dibuat bagi mengenal pasti identiti individu terbabit.

“Kita akan membuat permohonan ujian DNA di Jabatan Kimia dalam masa terdekat. Bagaimanapun proses mengenal pasti identiti serpihan tulang itu mengambil masa kerana sampel DNA perlu diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia. Siasatan terperinci sedang dijalankan terhadap kes tersebut,” katanya semasa dihubungi, hari ini.

Justeru Zulkipli berkata, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung perkara itu digesa tampil ke Balai Polis Sentral Sibu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, serpihan tulang itu ditemui pada Isnin lalu oleh pekerja kontraktor dari Majlis Perbandaran Sibu (MPS) semasa menjalankan kerja pembersihan di longkang berkenaan.

Susulan itu, polis forensik bersama-sama pihak dari Hospital Sibu dan kakitangan MPS menjalankan pencarian di dalam longkang berkenaan semalam bagi mengesan baki serpihan tulang yang lain.

ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek yang turut berada di lokasi kemudian mendedahkan sebanyak 83 serpihan tulang yang terdiri daripada tulang kaki, tangan, kepala dan badan ditemui pasukan pencarian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI