fbpx

Sekuriti dipenjara tiga bulan mengaku cabul siswi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. - foto oleh SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Perbuatan seorang sekuriti menggunakan kekerasan mencabul penuntut wanita sebuah universiti awam dekat sini berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Hafas Sharuddin, 24, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang penuntut universiti berusia 22 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.30 pagi di bahagian tepi pintu masuk sebuah kampus universiti awam di Jalan Hang Tuan, dalam daerah Melaka Tengah pada 10 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah insaf.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon agar hukuman setimpal diberikan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.

Sharda kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 14 Disember 2023.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI