fbpx

Lelaki Pakistan menyamar jadi ‘doktor’ klinik swasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaib ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh Syakir Radin/ Kosmo!

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warganegara Pakistan didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini terhadap pertuduhan menyamar sebagai pegawai perubatan di sebuah klinik swasta di sini, awal bulan lalu.

Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim turut memerintahkan Suhaib Jalal, 26, dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu dengan menyamar sebagai pegawai perubatan, sehingga mendorong seseorang untuk mempercayai bahawa tertuduh berkelulusan menjalankan amalan perubatan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah klinik swasta di Taman Maluri, Cheras pada pukul 9 malam, 1 Disember lalu.

Mengikut fakta kes, selepas serbuan di lokasi kejadian, pihak polis mendapati tertuduh menawarkan khidmat rawatan kesihatan tanpa sijil perakuan yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semasa prosiding, peguam Tripatjit Singh bersama-sama Tharanjit Singh yang mewakili Suhaib merayu agar anak guamnya dikenakan denda minimum.

“Dia telah direman selama 19 hari dan merupakan seorang graduan jurusan perubatan dari sebuah universiti di China. Bagaimanapun, anak guam tidak mempunyai sijil pengesahan daripada KKM untuk menawarkan khidmat perubatan di negara ini,” katanya.

Tripatjit turut menyatakan, Suhaib mempunyai latar belakang dalam bidang itu seperti yang disahkan oleh ahli keluarganya melalui dokumen, namun anak guamnya tidak berdaftar dengan KKM.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI