fbpx

Jenayah dalam talian catat kerugian lebih RM173 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jumlah kerugian bagi kes jenayah dalam talian di negara ini dilaporkan melebihi RM173 juta setakat 30 November 2023.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, selain itu, sebanyak 8,213 kertas siasatan dibuka oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC),Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, ia meliputi pelbagai peruntukan termasuk melibatkan pembekuan sebanyak 529 akaun dengan nilai melebihi RM65 juta.

“Jadi, sebagai tindak balas kepada cabaran semakin meningkat disebabkan oleh ancaman jenayah dalam talian, Kerajaan Perpaduan menggiatkan usaha dan komitmen memeranginya melalui reformasi perundangan selaras peredaran masa dan perkembangan teknologi.

“Satu mesyuarat yang dipengerusikan saya telah diadakan bersama dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, NFCC, Jabatan Peguam Negara, PDRM, Majlis Keselamatan Negara, BNM dan SKMM,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Azalina berkata, mesyuarat itu bertujuan meneliti cabaran dan undang-undang sedia ada di bawah pelbagai kementerian dan agensi
yang berhubungan dengan ancaman jenayah dalam talian selain mengenal pasti langkah perundangan komprehensif bagi membanteras jenayah tersebut.

“Kerajaan Perpaduan melalui BHEUU dan NFCC akan menjalankan satu kajian menyeluruh termasuk kajian perbandingan serta konsultasi awam dibuat dalam tempoh tiga bulan mulai bulan Januari 2024.

“Kajian itu dibuat dengan kerjasama ahli akademik di universiti tempatan agar satu keputusan dasar jelas dibuat berhubung dengan pindaan perundangan sedia ada dan penggubalan undang-undang baharu mengenai prosedur dan kuasa bagi menangani aktiviti jenayah dalam talian secara komprehensif.

“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan dan komitmen kerajaan untuk terus menangani isu jenayah dalam talian bagi memastikan kewujudan persekitaran digital selamat untuk rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI