fbpx

Usia 16 tahun sudah pikul tugas urus keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAIMIN (kiri) membantu membersihkan kaki ibunya yang tidak dapat menguruskan diri sejak tahun lalu.

MELAKA – Biarpun usianya baru 16 tahun, seorang remaja lelaki telah memikul tanggungjawab menjaga ibunya yang sakit dan tidak mampu menguruskan diri di Taman Desa Duyong, di sini, sejak setahun lalu.

Muhammad Muhaimin Abd. Razak berkata, tugas itu dipikulnya selepas dia sekeluarga termasuk ibunya, Azreena Kalil, 41, dan bapa, Abd. Razak Ahmad, 44, serta adik perempuan, Nurdiah Batrisya, 10, terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lalu.

Dalam kejadian itu, ibunya mengalami patah tulang dari paras pinggang kiri hingga kaki, manakala bapanya patah tiga tulang rusuk kiri.

Adiknya pula patah kedua-dua kaki dan hanya dirinya yang terselamat tanpa mengalami kecederaan serius.

“Ayah telah pulih dan sudah boleh bekerja di sebuah kilang di Pegoh, manakala adik juga telah kembali bersekolah.

“Cuma ibu yang masih tidak dapat menguruskan diri kerana tulang atas lututnya hancur dan perlu dipasang besi, jadi saya yang menjaganya termasuk menukar lampin serta menyediakan makan minum keluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem hadir menyantuni dan memberi bantuan kepada keluarga berkenaan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Molek itu memberitahu, bapanya akan membantu memandikan ibunya pada setiap pagi sebelum keluar bekerja, manakala dia akan menyediakan sarapan ringkas untuk keluarganya.

“Saya tak rasa penat pun walaupun perlu mengayuh basikal ke kedai, sekolah serta ulang-alik ke rumah menguruskan ibu kerana hanya saya yang boleh diharapkan dan ibu syurga saya,” katanya.

Sementara itu, Azreena memberitahu, dia terpaksa meng­hubungi pihak sekolah agar membenarkan anaknya pulang ke rumah jika mengalami demam teruk dan cirit birit.

“Ada ketikanya Muhaimin lambat ke sekolah kerana perlu menguruskan saya dan dia didenda, jadi saya terus hubungi sekolah merayu agar dia dimaafkan kerana bukan salahnya,” ujarnya yang sebelum ini bertugas sebagai kakitangan am di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akaun Maybank 154026369769 atas nama Azreena Kalil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI