fbpx

Hisap rokok dalam bilik lepas bunuh bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Seorang lelaki dibebaskan daripada tuduhan membunuh bapanya selepas Mahkamah Tinggi, di sini memutuskan dia tidak waras ketika memukul mangsa dengan kayu dan menikamnya dengan pisau pemotong daging empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Wendy Ooi Su Ghee bagaimanapun memerintahkan Jamil Tawasil, 38, diletakkan di bawah penjagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Beliau berpuas hati tertuduh melakukan perbuatan yang menjadi asas kepada pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah mendapati biarpun tertuduh telah membunuh bapanya, namun dalam keadaan akal tidak waras, dia tidak berupaya mengetahui keadaan dan perbuatannya itu salah atau berlawanan dengan undang-undang,” ujar hakim berkenaan.

Wendy Ooi mencapai dapatan itu berdasarkan fakta kes bahawa Jamil dilihat duduk dalam biliknya sambil menghisap rokok ketika polis tiba di rumah berkenaan.

Mahkamah berpendirian dia tidak waras kerana lelaki itu bukan sahaja tidak melarikan diri, malah tidak bertindak melupuskan pisau pemotong daging dan kayu yang digunakannya.

“Apabila ditanya polis apa yang telah dilakukannya, tertuduh memberitahu tidak tahu apa-apa kerana sedang tidur dalam bilik,” menurut penghakiman bertarikh 28 November lalu yang diperolehi pihak media daripada laman web mahkamah, hari ini.

Jamil disabitkan membunuh Tawasil Sinag, 68, di sebuah rumah di Taman Puteri Taragon, Batu 9 Cheras, Hulu Langat dekat sini di antara pukul 11 malam dan 11.15 malam pada 9 November 2019. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI